suria

Peniaga sayu Pasar Payang bakal diroboh, bawa pergi kenangan selama 51 tahun

Pasar Payang akan dirobohkan untuk diganti dengan pasar yang lebih moden, selesa dan mesra pengunjung.

SEBUT sahaja Pasar Besar Kedai Payang atau Pasar Payang, pasti mereka yang pernah berkunjung ke Terengganu, akan terbayang suasana penuh sesak pengunjung dan kepadatan pelbagai barangan jualan produk popular di negeri itu, termasuk kain batik, sutera dan songket.

Namun, wajah Pasar Payang seperti itu yang selama ini menjadi ikon di negeri itu pasti akan berubah, apabila kerajaan negeri memutuskan merobohkan bangunan yang dibina sejak 1968 itu, untuk digantikan dengan pasar yang lebih moden, selesa dan mesra pengunjung, bermula April ini.

Kesemua peniaga telah pun diarahkan berpindah secara berperingkat ke bangunan lain, yang terletak hampir 80 meter dari bangunan asal, sementara Pasar Payang baharu, yang menelan belanja RM50 juta dijangka siap dua tahun lagi.

Tinjauan Bernama ke pasar yang terletak di tengah-tengah Bandar Raya Kuala Terengganu dan pinggir Sungai Terengganu itu mendapati, rata-rata peniaga masih dihimpit perasaan berbelah bahagi untuk berpindah, kerana pasar itu yang telah menjadi sebahagian daripada hidup mereka tentunya meninggalkan pelbagai memori terutamanya, bagi peniaga asal di situ.

Ibrahim Jusoh, 65, yang berniaga sejak 1960an berkata Pasar Payang berada pada zaman kegemilangannya sekitar tahun 1980an, sehingga berjaya menarik pelancong dari dalam serta luar negeri.

Aktiviti perniagaan di Pasar Payang.

Katanya, pasar itu menjadi tapak perjuangan lebih 500 peniaga, majoritinya melayu, yang tentunya menyimpan terlalu banyak kenangan suka duka, dalam tempoh 51 tahun kewujudannya dengan beberapa kali mengalami perubahan struktur.

"Sebelum adanya kompleks pasar seperti hari ini, Pasar Payang hanyalah terdiri dari deretan kedai kecil yang menjual barang keperluan dan di satu sudut lain diisi oleh beberapa peniaga sayur serta buah-buahan.

"Pada tahun 1964 barulah ia dibangunkan sebagai sebuah pasar, bagi menempatkan peniaga-peniaga dari Pasar Besar Tanjung yang dirobohkan. Nama Kedai Payang pula dikekalkan bagi memelihara sejarah tempat asal itu sendiri," katanya ketika ditemui Bernama.

Seorang lagi peniaga asal di situ, Ibrahim Mohamad, 75, berkata memori paling diingati ketika mencari rezeki di situ ialah kesibukan peniaga serta orang ramai memunggah barangan dari perahu ke pasar.

Sekitar tahun 1960an hingga awal 80an, perahu atau bot adalah pengangkutan utama masyarakat seperti dari Paloh, Seberang Takir, Teluk Pasu dan Kuala Nerus yang datang membawa barang dagangan masing-masing.

IBRAHIM MOHAMAD

Bermula dengan mengambil upah mengangkut barangan, Ibrahim mula berjinak-jinak berniaga buah-buahan, bagi menyara isteri serta 15 orang anak yang masih kecil.

"Sekitar tahun 1960an hingga awal 80an, perahu atau bot adalah pengangkutan utama masyarakat seperti dari Paloh, Seberang Takir, Teluk Pasu dan Kuala Nerus yang datang membawa barang dagangan masing-masing.

"Pada masa itu buah-buahan dijual secara longgok sahaja, iaitu RM1 untuk 20 biji limau yang dibekalkan oleh orang kampung. Malah ketika itu penggunaan sukatan masih dalam unit tahil, kati dan pikul bukannya kilogram seperti sekarang," katanya yang tidak dapat menahan rasa sayu, apabila mengenangkan Pasar Payang yang bakal bertukar wajah.

Sungguhpun begitu, Ibrahim yang sudah lebih 50 tahun berniaga di situ tetap akur, dengan pelan pembangunan tersebut yang diharap dapat mengembalikan kegemilangan Pasar Payang, seperti suatu masa dahulu.

Bangunan dua tingkat yang bakal dirobohkan itu, menjual pelbagai barangan di tingkat atas terutama kain batik dan songket asli Terengganu manakala di aras bawah mempunyai gerai menjual barangan basah serta pelbagai rempah ratus dan barang kemas.

Pasar Payang

Artikel Lain