suria

SPRM tahan pegawai kanan FGV

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Sabtu menahan seorang pegawai kanan FGV Holdings Berhad (FGV) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta suapan bernilai RM10,000.

Menurut sumber, suspek berusia 50 tahun itu ditahan di sebuah restoran di Taman Prima Saujana, Kajang kira-kira pukul 11.30 pagi.

Individu itu dipercayai menerima bayaran berkenaan sebagai dorongan bagi mengesyorkan perlanjutan kontrak sebuah syarikat perkhidmatan kerja pengauditan persijilan antarabangsa untuk kilang sawit di bawah kelolaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu, kata sumber itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Holdings Berhad Datuk Haris Fadzilah dalam satu kenyataan berkata syarikat itu bekerjasama dengan pihak berkuasa mengenai perkara itu dan sedia memberi segala bantuan yang diperlukan.

“FGV sudah mengambil langkah untuk mengukuhkan proses pemberi maklumat dalaman dan untuk mengesahkan komitmen kami terhadap tadbir urus dan amalan korporat yang baik," katanya.

Haris Fadzilah berkata sebahagian besar pelan transformasi FGV akan memberi tumpuan kepada memulihkan integrasi operasi dan ketirisan.

“Kami percaya kepada ketelusan, integriti dan tingkah laku beretika. Kami akan menanamkan nilai-nilai ini di semua peringkat, di seluruh kumpulan,” katanya. - BERNAMA

FGV, SPRM

Artikel Lain