suria

BN rampas DUN Semenyih, menang majoriti 1,914

Zakaria diraikan penyokongnya. foto NORAFIFI EHSAN/The Star

SAH! Selepas kesemua 120 peti undi sudah dikira, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

Calon BN, Zakaria Hanafi, 58, memperolehi 19,780 undi dengan majoriti 1,914.

Sementara itu, calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman, 30, meraih 17, 866 undi.

Nik Aziz Afiq Abdul mewakili Parti Sosialis Malaysia memperoleh 847 undi manakala calon bebas Kuan Chee Hong 725.

Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Mohd Sayuthi Bakar kira-kira pukul 9.20 malam di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian di Semenyih.

Dengan kemenangan itu, BN menambah satu lagi kerusi di DUN Selangor kepada lima selepas menang empat kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu, manakala PH menguasai 50 kerusi dan satu kerusi milik PAS.

Kerusi DUN Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Januari lepas.

DUN Semenyih mempunyai 54,503 pemilih berdaftar merangkumi 53,520 pengundi biasa, 951 pengundi awal dan 32 pengundi tidak hadir berada di luar negara.

Peratusan keluar mengundi sehingga 5.30 petang selepas 24 pusat mengundi ditutup ialah sebanyak 73.24 peratus, berbanding 87.90 peratus pada PRU14.

Pengundian awal pada Selasa lalu menyaksikan peratusan pergi mengundi ialah 78 peratus.

PRK DUN Semenyih adalah PRK keenam diadakan selepas PRU14 dengan PH menang di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September 2018) dan Parlimen Port Dickson (13 Oktober 2018), manakala BN menang di Parlimen Cameron Highlands (26 Januari lalu).

PRK Semenyih, BN, PH, Zakaria Hanafi

Artikel Lain