suria

Nahas Jambatan P. Pinang, pendandan rambut didakwa pandu berbahaya, akibatkan kematian

PEMANDU kereta yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu seorang pelajar sehingga terhumban ke laut di Jambatan Pulau Pinang pada bulan lalu, didakwa di mahkamah majistret di Bukit Mertajam, Isnin.

M. Vaitheswaran, 21, didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Moey Yun Peng, 20, di KM4.0 di jambatan arah Prai kira-kira 3 pagi pada 20 Januari lalu.

Pendakwaan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, membawa hukuman maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekiranya disabit kesalahan.

Vaitheswaran mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Semasa mitigasi tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amir Abd Karim mencadangkan kepada mahkamah supaya jaminan dikenakan sebanyak RM10,000 tetapi peguam yang mewakili Vaitheswaran iaitu S. Parameswaran meminta jaminan RM5,000 berikutan anak guamnya tidak lagi bekerja sebagai pendandan rambut dan bapanya merupakan juruelektrik dengan pendapatan bulanan RM2,500 untuk menyara keluarga.

Majistret Jamaliah Abd Manap kemudian menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan lesen memandu Vaitheswaran digantung sehingga kes selesai.

Dia juga mengarahkan Vaitheswaran untuk melaporkan kepada balai polis terdekat dan menetapkan 18 Mac bagi sebutan kes.

Dalam kejadian itu, SUV yang dipandu Yun Peng, yang merupakan pelajar kolej swasta, terhumban ke laut selepas dilanggar sebuah kenderaan di Jambatan Pulau Pinang.

Mayat Yun Peng ditemui di tempat duduk pemandu selepas kenderaan itu diangkat dari dasar laut tiga hari kemudian. - The Star

Artikel Lain