suria

Keluarga wanita maut terbakar serah pada polis

Norwahidah dan suaminya masing-masing bertugas di JPN, Putrajaya.

KELUARGA Norwahidah Abd Hamid yang maut dalam kebakaran bersama suaminya di sebuah rumah di Taman Desa Vista, Sepang, Isnin, menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat kes itu.

Bapanya, Abd Hamid Yunus, 57, berkata sehingga kini dia masih belum ditemui oleh pegawai penyiasat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kematian anaknya yang berumur 28 tahun itu.

"Saya tak mahu ulas lanjut mengenai perkara ini dan saya serahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyelesaikan kes itu.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semua urusan pengebumian jenazah anak berjalan lancar dan selamat disemadikan," katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Najah dekat Jerlun, Kedah pada Rabu.

Jenazah Norwahidah yang juga kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya itu disemadikan di kampung neneknya pada pukul 10 pagi selepas disembahyangkan di Masjid An- Najah.

Turut hadir, Penolong Pengarah Bahagian Kelahiran Kematian dan Anak Angkat JPN Kedah, Hartini Mohamad yang menyerahkan sijil kematian kepada bapa mangsa.

Mangsa, anak sulung dari empat beradik itu, ditemui mati dalam kebakaran bersama suaminya Wan Mohd Baharul Nizam Wan Bakar, 35, dalam rumah teres setingkat itu pada Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, berdasarkan laporan awal bedah siasat mendapati ada unsur jenayah pada mangsa wanita selepas didapati terdapat kesan hentakan benda keras di kepala Norwahidah.

Polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

kebakaran, maut

Artikel Lain