suria

Remaja perempuan hilang di laut ketika bermain bersama rakan

Gambar hiasan

JOHOR BAHRU: Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas ketika sedang bermain di kawasan longgokan pasir yang membentuk seperti pulau di perairan Tanjung Piai dekat Pontian, pada Isnin.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata pihaknya melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja itu kira-kira 10.30 pagi Isnin dengan menggerakkan sebuah bot selepas menerima maklumat kejadian daripada Balai Polis Permas, Kukup, Pontian.

"Sebuah Pangkalan Hadapan Carilamat ditubuhkan di jeti nelayan Tanjung Piai berdekatan dengan lokasi kejadian bagi menyelaras usaha mencari mangsa," katanya menerusi kenyataan.

Sanifah berkata remaja berumur 17 tahun itu berpakaian t-shirt berwarna ungu dan seluar jeans berwarna coklat.

Beliau berkata difahamkan mangsa bersama-sama lima lagi rakannya dari Ayer Baloi, Pontian telah menaiki bot ke kawasan tersebut untuk bermain-main sebelum tiga daripada mereka terjerlus ketika bermain

Bagaimanapun dua orang rakan mangsa dapat diselamatkan manakala mangsa dihanyutkan arus, katanya.

"Operasi SAR melibatkan lima aset bot dan 47 orang anggota dari pelbagai agensi iaitu APMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela)," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai segera menghubungi talian 999 atau Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru di talian 07-2219231 jika berlaku kecemasan di laut supaya APMM dapat memberikan bantuan kecemasan dengan cepat.

Orang ramai juga dinasihati lebih berhati-hati memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu dan mengambil langkah yang sewajarnya apabila berada di pantai, katanya.- BERNAMA

Lemas, Tanjung Piai

Artikel Lain