Bekas Ketua Audit Negara hadir SPRM berhubung dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB - Semasa | mStar

Bekas Ketua Audit Negara hadir SPRM berhubung dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB

Ambrin hadir ke ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan.

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berada di ibu pejabat  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  di sini pada Isnin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad  (1MDB).

Menurut sumber SPRM, Ambrin tiba pada jam 3.15 petang selepas dipanggil  untuk memberi keterangan.

Media yang menunggu kehadiran Ambrin di perkarangan pintu masuk utama SPRM itu bagaimanapun tidak dapat mengesan kenderaan yang dinaiki beliau.   

ARTIKEL BERKAITAN: “Serius mengecewakan” - ulas KJ isu dakwaan Najib ubah laporan audit kehadiran Jho Low

Pada Ahad, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan bahawa Laporan Akhir Pengauditan 1MDB telah diubah dan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tahu tentang perkara tersebut. 

Menurutnya, dua perkara penting yang tidak dimasukkan dalam laporan itu - pertama  mengenai kehadiran ahli perniagaan yang diburu  Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB dan kedua berkenaan status kewangan 1MDB.

SPRM dalam satu kenyataan pada Ahad berkata pihaknya telah memulakan siasatan berkaitan dakwaan pindaan laporan itu dan akan memanggil beberapa saksi bagi memberi keterangan dan membantu siasatan berkaitan isu itu dalam tempoh terdekat. - Bernama

Ambrin Buang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut