suria

Syarikat kosmetik didenda kerana miliki 245 unit pelembap bibir tiruan

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat yang menjual barangan kosmetik didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan memiliki 245 unit pelembap bibir tiruan jenama Vaseline, tahun lepas.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas wakil syarikat Zaid  and  Rafiq Brothers Sdn Bhd, Rashdan Ab Ghani ,46, selaku Orang Kena Saman (OKS), yang juga pengarah syarikat berkenaan, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Syarikat itu didakwa dalam milikannya untuk pembekalan barang-barang iaitu Vaseline Lip Therapy (Original) 220 unit dan Vaseline Lip Therapy (Cocoa Butter) 25 unit yang baginya suatu dagangan palsu digunakan berhubungan dengan cap dagangan berdaftar Vaseline.  

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis Zaid  and  Rafiq Brothers Sdn Bhd, Lot. 6.21, tingkat enam, Plaza GM, Lorong Haji Taib di sini pada 12.05 tengah hari, 31 Okt, 2017.

Syarikat itu dituduh mengikut Seksyen 8 (2) (c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 (2) (A) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Nurul Azrina Mohamed Yusof memohon hukuman berat terhadap syarikat itu dengan alasan kesalahan ini boleh menjejaskan kepentingan awam.

“Penjualan barangan kosmetik tiruan boleh memudaratkan kesihatan pengguna dalam kes ini syarikat itu telah menjual pelembap bibir tiruan yang boleh mendatangkan risiko kanser dan bibir bengkak,”katanya.

Bagaimanapun, OKS yang mewakili syarikat itu memohon hukuman denda minimum kerana keuntungan syarikat tidak bergitu memuaskan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian sepasukan anggota penguatkuasa dari KPDNKK telah melakukan pemeriksaan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 di premis berkenaan.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat barangan tiruan kosmetik menggunakan cap dagangan Vaseline disyaki palsu dipamerkan di rak untuk tujuan jualan. - Bernama

Vaseline

Artikel Lain