suria

Zainal Abidin Osman disahkan hidap kanser darah Mac lalu

NIBONG TEBAL: Simptom kanser disedari apabila Datuk Seri Zainal Abidin Osman mengadu sakit tulang dan demam.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang itu yang lebih dikenali sebagai Tok Non disahkan menghidap kanser darah (multiple myeloma) pada Mac lalu.

Isterinya, Datin Seri Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin, 28, berkata semua ahli keluarga sedih apabila mengetahui dia menghidap penyakit tersebut.

"Namun doktor optimis ia boleh dirawat, jadi suami saya mula berjuang melawan penyakit itu," katanya.

Siti Nur Syafiqa berkata, suaminya meletak jawatan politiknya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk fokus menjalani rawatan dan meluangkan masa bersama anak-anak.

Zainal menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 2.07 pagi Isnin pada usia 58 tahun.

Siti Nur Syafiqa berkata suaminya mendaftar masuk ke hospital kira-kira seminggu lalu untuk menjalani rawatan yang dijadualkan.

Namun berlaku komplikasi dan beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di Hospital Ampang, Kuala Lumpur.

"Beliau menjalani kehidupan normal hingga akhir hayatnya. Beliau kuat berkempen semasa PRU14 yang lalu dan tidak membiarkan penyakit itu menghalangnya," kata Siti Nur Syafiqa dalam nada sebak.

Dia turut menyifatkan Zainal sebagai seorang lelaki yang mementingkan keluarga dan cuba menghabiskan masa setiap malam di rumah.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Sungai Acheh, Nibong Tebal kira-kira pukul 5 petang Isnin.

Zainal Abidin yang merupakan bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah daripada 2006 hingga Mac 2008.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

"Kami mempunyai faham politik berlainan tetapi kami berkongsi perjuangan yang sama iaitu masa depan yang lebih baik untuk Malaysia," kata Chow.

Artikel Berikut

Artikel Lain