suria

"Saya tak mampu urus rumah"

Foto Facebook.

PADANG SERAI: Lima beranak di Taman Melur, di sini pasrah tinggal di dalam rumah yang dipenuhi sampah.

Keadaan luar rumah yang tidak terurus dan dipenuhi sampah sehingga mendatangkan bau busuk memberi pelbagai reaksi tidak senang kepada jiran sekeliling.

Tinjauan Sinar Harian ke dalam rumah yang disewa keluarga terbabit juga sangat menyedihkan apabila memikirkan tiga beradik yang berusia dua, lima dan lapan tahun terpaksa menggadai nyawa dalam keadaan kotor itu.

Hanya berbekalkan tilam lusuh yang dihampar di ruang tamu dipenuhi sisa sampah dan pakaian tidak dibasuh menjadi tempat mereka beristirehat setiap hari.

Malah di setiap tiga bilik rumah itu juga tidak terurus dan ruangan dapur pula dipenuhi pakaian, pinggan mangkuk serta periuk yang tidak dibasuh.

Penghuninya, Sariah Ahmad, 38, berkata, mereka mempunyai sebab tersendiri apabila terpaksa tinggal dalam keadaan begitu.

"Saya tak mampu nak uruskan rumah sendiri, selain kurang berkemampuan untuk menghias rumah.

"Nak beli tilam baru untuk anak-anak tidak mampu. Kami hanya makan beli dari kedai sahaja, tidak masak.

"Kadang-kadang air pun tak ada, susah saya nak basuh atau masak," katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulim, Mohamad Zarir Mohamad Khozali berkata, keluarga terbabit menerima bantuan elaun sara hidup setiap bulan.

"Kita ada bagi bantuan elaun sara hidup setiap bulan untuk bantu ringankan beban, tapi mereka ini suka berpindah.

"Aktviti bergotong-royong di rumah mereka telah dilakukan beberapa kali namun keadaan kembali kotor semula kerana tidak dijaga," katanya.

Menurutnya, JKM akan memberi tempoh satu minggu untuk ibu bapa kepada tiga anak itu memastikan rumah mereka bersih selepas gotong-royong diadakan.

"Kalau mereka gagal kita akan ambil dan letakkan anak mereka di bawah jagaan JKM sepenuhnya.

"Anak sulung mereka yang berusia lapan tahun juga akan dihantar ke sekolah," katanya.

Dalam pada itu, Penyelaras Parlimen Padang Serai, Hazim Selimin berkata, pihaknya mengambil inisiatif membersihkan kediaman keluarga ini untuk memastikan kesihatan anak-anak itu terjaga.

"Kita dengan bantuan sukarelawan, Pejabat Kesihatan Daerah Kulim dan JKM telah bersama membersihkan rumah keluarga ini supaya ia bersih dan selesa dihuni.

"Kita harap keluarga ini mempunyai sikap untuk menjaga kebersihan diri bagi mengelakkan pelbagai penyakit," katanya.

JKM, sampah

Artikel Lain