suria

Kutipan AES tak bawa hasil kepada kerajaan?

PUTRAJAYA: Kerajaan membatalkan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) membabitkan nilai RM435 juta berikutan perjanjian berat sebelah antara kerajaan terdahulu dengan dua syarikat konsesi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sebarang kutipan sebelum ini tidak membawa apa-apa hasil kepada kerajaan tetapi memberi keuntungan kepada dua syarikat berkenaan iaitu Ates dan Beta Tegap Bhd.

Jelasnya, perjanjian berat sebelah itu bukan sahaja memberi kelebihan kepada syarikat itu tetapi menunjukkan penguatkuasaan itu telah diswastakan.

"Keputusan kerajaan untuk membatalkan semua saman itu menyebabkan pelbagai pihak mempersoalkan mengapa kerajaan membuat keputusan sedemikian termasuklah menuding kerajaan mendakwa kita menggalakkan rakyat melanggar undang-undang dan melepaskan saman-saman yang dianggarkan berjumlah RM 435 juta itu," katanya dalam sidang media Isnin.

Loke berkata, selaras dengan keputusan tersebut kementerian tidak menyambung dua perjanjian konsesi dengan dua syarikat yang akan tamat kontrak pada 31 Ogos ini.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan mereka yang terlibat dalam menandatangani perjanjian penswastaan AES bersama dua syarikat yang mengendalikan sistem itu adalah individu bodoh kerana kerajaan tidak mengutip sebarang hasil daripada perjanjian itu.

Katanya, beliau boleh menerima kritikan sesiapa tetapi beliau tidak boleh menerima kritikan daripada MCA terutamanya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang berkata tidak adil kepada orang yang sudah membayar saman.

“Tetapi bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Kong Cho Ha yang menandatangani perjanjian ini dan kenapa (Presiden MCA yang juga bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai membiarkan saman ini tertunggak yang menunjukkan beliau tidak serius dan tidak buat apa-apa pun.

“Kepada pemimpin MCA, sebelum bercakap, sila guna otak dahulu kerana apa dikatakan itu yang akan kembali kepada Menteri Pengangkutan dari MCA kerana tidak telus untuk memberitahu butiran perjanjian kepada rakyat," katanya.

Selain itu, Loke turut membidas pemikiran tidak matang pengguna jalan raya yang beranggapan boleh memandu melebihi had laju sebelum penguatkuasaan AES bermula 1 September ini.

“Dua minggu boleh memandu laju? Ini pemikiran tidak matang kerana penguatkuasaan bukan sahaja pada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tetapi juga polis trafik.

“Saya sudah arahkan ketua pengarah JPJ minggu lalu untuk memaklumkan polis bagi mempertingkatkan penguatkuasaan sepanjang tempoh terbabit,” katanya.

Jumaat lalu, Loke berkata, semua saman AES berjumlah 3.1 juta membabitkan nilai RM435 juta yang belum dibayar sejak AES dilaksanakan pada 2012 dibatalkan.

Selain itu, katanya sistem berkenaan akan diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 September ini, selepas kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dengan dua syarikat konsesi iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd. - Sinar Harian

AES

Artikel Berikut

Jangan guna taktik kotor!

Artikel Lain