suria

Dua bekas guru didakwa aniaya empat budak di tadika

MELAKA: Dua bekas guru tadika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Isnin atas pertuduhan menganiaya dari segi fizikal dengan cara mengasari empat kanak-kanak di sebuah tadika di Ayer Keroh, bulan lepas.

Tertuduh, Rozana Sawal, 41, dan Nor Sulastri Suratmi Bahrom, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Rozana, didakwa menganiayai dari segi fizikal dengan cara mengasari seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun iaitu menampar pipi sehingga jatuh kerusi; dan melakukan tindakan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia lima tahun iaitu menampar pipinya sebanyak dua kali.

Nor Sulastri Suratmi didakwa menganiayai dari segi fizikal dengan cara mengasari seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun iaitu mengangkat dan meletakkannya di atas leher seorang kanak-kanak lain serta mencubitnya dan mengasari seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dengan mengangkat dan mengigit tangannya.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah tadika di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini antara 9 pagi dan 11 pagi, 30 Julai lepas.

Kedua-dua tertuduh yang telah ditarik lesen mengajar serta merta itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi, tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan mengambil kira faktor kesalahan dilakukan kedua-dua tertuduh adalah serius selain menjadi perhatian dan membangkitkan kemarahan netizen.

Namun, peguam Zarin Zain dan Farid Aziz yang masing-masing mewakili Rozana dan Nor Sulastri Suratmi merayu agar anak guam mereka dibenarkan ikat jamin dan menegaskan video yang ditularkan tidak boleh mempengaruhi keputusan mahkamah.

Hakim Mohd Nasir kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mendekati saksii pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 26 September untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

tadika, aniaya

Artikel Sebelum

Jangan guna taktik kotor!

Artikel Berikut

Artikel Lain