suria

Lelaki Nepal parah ditetak dalam pergaduhan dengan rakan senegara

KEPALA BATAS: Polis menahan enam lelaki warga Nepal dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan sehingga menyebabkan seorang  rakan senegara mereka cedera parah ditetak di kepala dalam kejadian di sebuah asrama pekerja di Permatang Tok Jaya, di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata enam lelaki berusia 18 hingga 40 tahun itu ditahan di asrama didiami 45 pekerja asing berkenaan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut malam tadi.

Dalam kejadian pukul 7.45 petang itu, mangsa berusia 38 tahun mengalami kecederaan parah selepas ditetak di bahagian kepala menggunakan pisau pemotong dalam pergaduhan membabitkan beberapa rakan senegaranya.

Berdasarkan siasatan awal, mangsa dan beberapa rakannya minum minuman keras di hadapan asrama pekerja sebelum berlaku pergaduhan sehingga berlarutan seorang daripada mereka mengambil pisau dan bertindak menetak lelaki berkenaan," katanya di sini, Isnin.

Katanya beberapa pekerja yang tinggal di asrama itu bertindak meleraikan pergaduhan itu sebelum menghubungi pihak polis manakala mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan lanjut.

Noorzainy berkata berikutan kejadian itu, polis merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya hasil pemeriksaan awal doktor yang merawat mangsa di HKB mendapati terdapat kesan tetakan pada tepi kepala di bahagian kiri dan ia lebih kurang enam sentimeter panjang dan kedalaman lebih kurang tiga sentimeter.

"Kecederaan lain masih belum dapat dipastikan dan lelaki itu telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan susulan. Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya.

Beliau berkata enam lelaki yang ditahan itu direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.-- Bernama

Nepal, Permatang Tok Jaya, Noorzainy

Artikel Berikut

Artikel Lain