suria

Rapid Bus tubuh pasukan khas tuntutan insurans

PETALING JAYA: Pasukan khas telah ditubuhkan Rapid Bus Sdn Bhd bagi mengendalikan tuntutan insurans susulan insiden membabitkan bas Rapid KL di AU2, Keramat di ibu negara pada malam Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Azam Omar berkata pemilik kenderaan yang berhasrat untuk mengemukakan tuntutan boleh menghantar tuntutan mereka bersertakan dokumen-dokumen berkaitan melalui e-mel ke alamat [email protected].

Pada masa sama, beliau mengesahkan bas yang terbabit dalam insiden di Jalan Enggang AU2, Taman Keramat, malam Khamis berada dalam keadaan baik semasa digunakan.

"Berdasarkan kepada laporan polis yang dibuat malam tadi, insiden berkenaan bermula apabila bas tersebut terlibat dalam satu kemalangan jalan raya kecil di Jalan Enggang AU2, di Taman Keramat.

"Kapten bas dilaporkan meneruskan perjalanan sambil dikejar oleh sekumpulan orang awam.

"Semasa dikejar bas tersebut dilaporkan melanggar beberapa kenderaan di sepanjang jalan sehingga tiba di susur keluar Jalan Ampang ke Lebuhraya MRR2 di mana kapten bas dilaporkan dipukul oleh beberapa orang awam," katanya.

Mohd Azam berkata, pihaknya amat kesal dengan insiden yang berlaku.

"Kami juga sedang bekerjasama dengan polis serta pihak berkuasa berkaitan untuk menyiasat insiden tersebut," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi sementara menunggu keputusan siasatan polis.

"Kapten bas masih menerima rawatan di hospital. Tiada orang awam yang dilaporkan cedera semasa kejadian tersebut," katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.00 malam itu, sebanyak tujuh kenderaan rosak teruk selepas dirempuh sebuah bas henti-henti dipandu seorang lelaki yang disyaki cuba melarikan diri daripada satu kemalangan di hadapan Bangunan Risda di Jalan Ampang di sini.

Video berdurasi 1 minit 37 saat yang memaparkan kejadian berkenaan tular dalam media sosial.

Bas Rapid KL, kemalangan

Artikel Lain