suria

Bekas CEO Peka direman

IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menahan reman bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Pusat Kerjaya Amanjaya (Peka) bagi membantu siasatan penyelewengan berjumlah RM9.18 juta melibatkan anak syarikat kerajaan Perak itu.

Pengarah SPRM Perak Datuk Zainul Darus berkata perintah reman tujuh hari terhadap lelaki berusia 43 tahun tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ipoh, di sini Jumaat.

“Lelaki berkenaan ditahan awal hari ini di ibu negara susulan laporan yang dibuat oleh Peka terhadap sebuah syarikat konsultan yang didakwa membuat tuntutan palsu melibatkan jutaan ringgit,” katanya pada sidang media di sini.

Menurutnya siasatan awal mendapati lelaki itu yang ditamatkan kontrak perkhidmatan sebagai CEO Peka pada 20 Jun lalu mempunyai kepentingan dalam syarikat perunding berkenaan iaitu Syarikat Inovatif Sdn Bhd yang berpejabat di ibu negara.

“Jumlah penyelewengan itu membabitkan tuntutan bulanan perkhidmatan konsultan berjumlah RM8 juta, sewaan premis, bil-bil utiliti dan lain-lain bayaran berjumlah RM1.14 juta serta tuntutan ke atas program yang tidak dilaksana berjumlah RM40,000, kesemuanya untuk tempoh lima tahun,” katanya.

Zainul berkata setakat ini pihaknya telah menggeledah beberapa premis termasuk pejabat Peka, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Syarikat Inovatif, Institut Darul Rizduan dan Majlis Bandaraya Ipoh.

“Kita telah menemui beberapa dokumen, invois, surat perjanjian dan kita yakin ada lagi dokumen yang masih belum ditemui,” katanya menambah pihaknya akan memeriksa beberapa premis lagi dalam masa terdekat.

Beliau berkata kira-kira 30 individu akan dipanggil bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan itu yang dijalankan menurut Seksyen 18 Akta SPRM kerana mengemukakan tuntutan palsu.

Dua hari lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri Howard Lee Chuan How menggesa SPRM menjalankan siasatan terperinci terhadap syarikat konsultan berkenaan selepas seorang anggota Lembaga Pengarah Peka Datuk Zainol Fadzi Paharuddin menerima notis mahkamah daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkaitan tunggakan caruman selama lapan bulan.

Zainol Fadzi kemudian membuat laporan kepada SPRM. - BERNAMA

Peka, SPRM, seleweng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

27 hari menginsafkan Jamal

Artikel Lain