suria

Polis terima laporan bayi didera pengasuh

JOHOR BAHRU: Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung kes penderaan membabitkan seorang bayi perempuan berusia 10 bulan, di Indahpura, Kulai, pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, daripada laporan yang diterima, bayi tersebut dipercayai didera oleh pengasuh berusia 62 tahun yang diupah ibunya.

Menurutnya, kejadian tersebut dipercayai berlaku kira-kira dua minggu lalu dan terbongkar selepas melihat anaknya dipukul pengasuh itu dalam satu video dimuatnaik dalam laman Facebook, baru-baru ini.

“Daripada laporan yang dibuat pengadu iaitu ibu kepada bayi ini, suspek merupakan seorang wanita berusia 62 tahun yang telah diupah untuk menjaga anaknya. Kami telah mengenal pasti wanita ini.

“Rakaman percakapan pengadu turut memaklumkan hanya tahu anaknya telah dipukul suspek melalui rakaman video yang ditonton dalam Facebook yang kemudiannya mendapati bayi tersebut adalah anaknya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, Jumaat.

Dzulkhairi berkata, pengadu juga turut mengakui pernah mendengar reputasi buruk telah diceritakan mengenai suspek daripada orang lain.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(c) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, tular di laman Facebook sebuah video yang memaparkan seorang wanita memukul kepala serta anggota badan bayi ketika sedang menyuapnya makanan.

Video berkenaan turut mendapat perhatian netizen dan ada daripadanya memberitahu ia berlaku di Kulai. - Sinar Harian

dera, pengasuh, bayi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain