suria

Dua parah, pemandu Camry bawa ketum dicari

Kereta kancil yang dinaiki mangsa remuk dalam kemalangan terbabit.

TANAH MERAH: Polis mengesan pemandu kereta Toyota Camry yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Bendang Nyior, petang Khamis, berikutan kenderaan tersebut didapati membawa muatan daun ketum.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, tindakan pemandu terbabit memasuki laluan bertentangan telah menyebabkan berlaku pertembungan dengan sebuah kereta lain jenis Perodua Kancil.

Pertembungan tersebut menyebabkan dua beranak cedera parah dalam kemalangan terbabit.

Mangsa, Tuan Manshar Tuan Muda, 48, yang memandu kereta Perodua Kancil menaiki kenderaan itu bersama anak perempuannya, Tuan Fajrina, 18, dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu ke kediaman mereka di Kampung Bendang Nyior.

Akibat pelanggaran itu, Tuan Manshar mengalami kecederaan di bahagian muka, patah paha sebelah kiri dan tidak sedarkan diri manakala Tuan Fajrina luka tangan kanan dan patah tengkuk.

Manakala pemandu kereta Toyota Camry yang bermuatan daun ketum bertindak meloloskan diri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Azmi Mohktar berkata, hasil siasatan dilakukan, lelaki berkenaan melarikan diri dengan sebuah lagi kenderaan lain selepas kejadian itu.

"Buat masa ini kita masih lagi mengesan lelaki berkenaan untuk tindakan susulan," katanya.

"Kita juga telah memaklumkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik tentang penemuan daun ketum terbabit," katanya.

Sehubungan itu Azmi meminta orang ramai yang melihat atau menyedari kehadiran suspek yang mungkin mendapatkan rawatan di hospital atau mana-mana klinik supaya menghubungi talian 09-9556222 untuk maklumat lanjut. - Sinar Harian

ketum, Camry

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain