suria

Kes majikan langgar peraturan makin meningkat

Gambar hiasan penguatkuasa JTKP.

KUANTAN: Jabatan Tenaga Kerja Pahang (JTKP) mendapati kes majikan melangar peraturan kerja semakin meningkat pada tahun ini, kata pengarahnya Pezman Che Hussin.

Beliau berkata setakat semalam (Selasa), sebanyak 72 kertas siasatan telah dibuka berbanding 59 kertas siasatan bagi tempoh yang sama pada tahun 2016.

Katanya, terdapat 13 kesalahan dikesan antaranya majikan gagal memberi salinan kontrak perkhidmatan, gagal melaporkan penggajian pekerja asing, lewat membayar gaji dan membuat potongan gaji tidak sah.

"Kesalahan lain ialah tidak memperuntukkan cuti hari kelepasan am, tidak menyediakan kontrak perkhidmatan, tidak memberi salinan penyata gaji dan gagal memperuntukkan cuti sakit.

"Majikan di negeri ini juga didapati melakukan kesalahan gagal menyimpan daftar pekerja, gagal melaporkan kemalangan pekerja asing dalam 10 hari dan tidak mematuhi perintah gaji minimum," katanya pada sidang media, Rabu.

Pezman menambah untuk tahun ini, pihaknya menyasarkan untuk melaksanakan 2,760 pemeriksaan di seluruh negeri dan setakat ini, daerah paling kerap diperiksa ialah Kuantan.

Beliau menambah operasi terkini di Kuantan pada semalam, menyaksikan sebanyak 70 majikan yang diperiksa dan enam kertas siasatan dibuka dan 18 notis pematuhan dikeluarkan.

Pada perkembangan lain, Pezman memaklumkan JTKP akan menganjurkan Kembara Kerjaya Pahang 2.0 bermula di Jerantut pada 10 Ogos, Kuala Lipis (11 Ogos) dan Bentong (12 Ogos). -Bernama

Majikan, langgar peraturan

Artikel Berikut

Artikel Lain