suria

Perkahwinan bawah umur perlu diteliti semula

Seorang lelaki warga tempatan berumur 41 tahun berkahwin dengan seorang kanak-kanak berumur 11 tahun di Narathiwat, Thailand.
KUALA LUMPUR: Kerajaan dan pihak berwajib perlu meneliti semula had umur minimum untuk perkahwinan bawah umur untuk diseragamkan dan dijadikan rujukan pengamal undang-undang dalam berdepan isu membabitkan perkahwinan kanak-kanak bawah umur.

Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Muhammad Fathi Yusof berkata panduan terperinci ini perlu dimasukkan dalam enakmen atau akta sedia ada yang berkaitan perkahwinan bawah umur.

“Ini penting sebagai panduan bagi semua termasuk masyarakat. Perincian lain adalah perlunya prosedur tambahan membabitkan kelayakan, status kewangan, penglibatan pihak kesihatan dan pakar kaunseling bagi mereka yang telah berkahwin pada usia muda jika perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu perkahwinan kanak-kanak bawah umur yang menjadi buah mulut masyarakat ketika ini apabila seorang lelaki warga tempatan berumur 41 tahun berkahwin dengan seorang kanak-kanak berumur 11 tahun di Narathiwat, Thailand.

Dilaporkan, Mahkamah Syariah Gua Musang mendenda lelaki itu sebanyak RM1,800 selepas mengaku bersalah berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur tanpa kebenaran mahkamah dan berpoligami tanpa kebenaran dan izin isterinya.

Menurut Akta Undang-undang Keluarga Islam menerusi Seksyen 8 menetapkan umur minimum bagi sesebuah ikatan perkahwinan dan sekiranya lelaki berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan berumur kurang 16 tahun, mereka tidak dibenarkan berkahwin kecuali dengan kebenaran Hakim Syarie secara bertulis dengan pertimbangan hal-hal tertentu.

Mengenai cadangan menjadikan perkahwinan bawah umur satu kesalahan jenayah, Muhammad  Fathi berkata buat masa ini, undang-undang keluarga Islam dan perkahwinan di bawah kuasa negeri manakala perkahwinan bukan Islam terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Jadi kerajaan Persekutuan tidak ada bidang kuasa perundangan ke atas perkahwinan orang Islam. Cadangan itu hanya akan mengikat bukan Islam,” katanya dan menambah kata perkahwinan kanak-kanak bawah umur hanya boleh dibuat melalui perintah mahkamah sivil serta syariah, dan jika berkahwin tanpa kebenaran mahkamah maka ia sudah dikira kesalahan.-Bernama

Kahwin bawah umur, kaji semula

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain