suria

Jangan tuduh PH mesra LGBT - Mujahid

KUALA LUMPUR: Undang-undang negara ini melarang golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mengamalkan gaya hidup mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, negara mempunyai peruntukan undang-undang sivil untuk kesalahan persetubuhan luar tabii iaitu Seksyen 366A Kanun Keseksaan.

Manakala, katanya, undang-undang syariah memperuntukkan Enakmen Jenayah Syariah Seksyen 25, 26 dan 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan bagi kesalahan liwat, musahaqah (lesbian) dan lelaki berlagak seperti perempuan.

“Ini bermaksud hak komuniti LGBT untuk amalkan gaya hidup mereka masih tertakluk pada undang-undang yang tidak benarkan. Jadi jangan pula ada yang pusing kenyataan saya kata kerajaan PH ini mesra LGBT,” katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut).

Dalam soalannya, Ahmad Nazlan ingin tahu adakah kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap penularan budaya songsang LGBT gang semakin membimbangkan.

Menurut Mujahid, peruntukan Perlembagaan bagaimana pun menyatakan komuniti LGBT tidak boleh ditindas.

“Pada masa sama hak asasi manusia sentiasa dipelihara berdasarkan acuan adat dan budaya yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Golongan LGBT ini tak boleh ditindas di tempat kerja, tidak boleh dianiaya dan tak boleh dizalimi.

“Kita ada statistik menunjukkan 80 peratus golongan mak nyah terlibat dalam industri seks. Kalau kita mendiskriminasi mereka di tempat kerja, maka mereka akan terus berada dalam industri ini sedangkan kerajaan PH berhasrat mengeluarkan mereka dari industri ini,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga menggunakan pendekatan mendidik, bukan menghukum untuk memulihkan golongan LGBT.-SinarHarian

Mujahid, LGBT

Artikel Lain