Ibu-bapa gagal kejut anak ketagih main video, polis akhirnya datang menjemput - Semasa | mStar

Ibu-bapa gagal kejut anak ketagih main video, polis akhirnya datang menjemput

PETALING JAYA: Akibat terlalu obses dengan permainan video, seorang budak lelaki berusia 12 tahun dikatakan poteng sekolah selama 53 hari hingga terpaksa menerima tetamu tidak diundang.

Murid Tahun Enam itu didakwa bermain permainan video sehingga lewat malam dan ibu bapanya tidak sampai hati untuk mengejutkannya bangun pagi untuk ke sekolah.

Buntu dengan situasi yang berlaku ke atas murid tersebut, pihak sekolah mengambil tindakan meminta pihak polis menjemputnya di rumah, iaitu antara beberapa prosedur operasi standard (SOP) untuk menangani kes seperti itu.

Posting mengenai murid berkenaan yang tular di media sosial dan grup WhatsApp serta Telegram dikaitkan dengan pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Keramat, Kuala Lumpur.

Bagi mengesahkan mengenai kejadian tersebut, mStar Online mendapatkan kepastian pihak sekolah berkenaan.

Bagaimanapun seorang guru, Maryumi Abdul Razak menolak kejadian tersebut berlaku di sekolah berkenaan.

Jelasnya, wujud salah faham mengenai maklumat yang mengaitkan murid berkenaan bersekolah di SK Lembah Keramat.

Paparan skrin yang diambil daripada grup Telegram namun ia bukan berlaku di SK Lembah Keramat.

"Sebenarnya info mengenai murid ini kami perolehi di grup WhatsApp guru-guru.

"Namun, apabila ada pihak yang mengongsikannya ke aplikasi pesanan Telegram dan tertera nama sekolah kami, ia telah menyebabkan kekeliruan berlaku," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Jelas guru subjek Sains tersebut, pihak sekolah juga tidak mengetahui tentang lokasi sebenar kejadian itu.

"Apa yang saya boleh katakan, kejadian seperti ini tidak mustahil berlaku. Memang ada murid yang tidak hadir ke sekolah sehingga lebih 50 hari.

"Selepas nama sekolah kami dikaitkan, pihak pentadbir telah menghubungi Pejabat Pendidikan Daerah untuk menjawab mengenai isu ini," jelas Maryumi.

Dalam pada itu, guru terbabit meminta agar pihak luar tidak memuat naik maklumat yang tidak pasti asal usulnya ke media sosial bagi mengelak berlaku salah faham.

ponteng , permainan video

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lebih Artikel

'Rapunzel' tak potong rambut 28 tahun

TH cadang letak had dana pendeposit