suria

Riza beri keterangan kali keempat

PUTRAJAYA: Riza Aziz, anak tiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini Jumaat bagi memberi keterangan buat kali keempat berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Riza, 48 yang menaiki kereta jenis Audi berwarna hitam tiba di ibu pejabat SPRM pada kira-kira 9.50 pagi.

Ini merupakan hari keempat berturut-turut Riza yang juga Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat perfileman di Los Angeles, Amerika Syarikat diambil keterangan berhubung kes tersebut bermula Selasa lalu.

Sebelum ini terdapat laporan menyatakan anak tiri Najib itu dipanggil bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB apabila ratusan juta wang syarikat berkenaan dipercayai digunakan untuk menghasilkan filem di Hollywood.

Pada Selasa, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mengesahkan suruhanjaya itu hanya mengambil keterangan Riza dan tiada keperluan untuk SPRM menahannya setakat ini. - BERNAMA

Riza Aziz

Artikel Lain