Perwakilan Umno pilih Presiden, kepimpinan baharu hari ini - Semasa | mStar

Perwakilan Umno pilih Presiden, kepimpinan baharu hari ini

KUALA LUMPUR: Mesyuarat perwakilan dan pemilihan Umno peringkat bahagian dan majlis tertinggi bermula hari ini dengan tumpuan pastinya terarah kepada perebutan jawatan presiden parti itu.

Lima calon sebelum ini telah diumumkan bertanding bagi jawatan nombor satu parti itu termasuk trio utama iaitu Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Ketua Pemuda yang juga Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Dua lagi pencabar kerusi berkenaan yang kurang dikenali ialah anggota Umno Bahagian Bandar Tun Razak Mohamed Iqbal Maricair dan anggota Umno Bahagian Iskandar Puteri Mohd Yusof Musa@Jamaluddin, turut dinamakan sebagai calon bagi jawatan itu.

Mesyuarat perwakilan Umno akan bermula 9 pagi ini serentak di 191 bahagian dengan agenda utama hanya untuk memilih barisan kepimpinan di peringkat bahagian dan majlis tertinggi bagi sesi 2018-2021.

Bagi jawatan timbalan presiden pula, ia bakal menyaksikan persaingan di antara Anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa.

Tujuh calon lagi akan bertanding merebut tiga jawatan naib presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, Sheikh Razali Sheikh Hamad, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Ahmad Said.

Seramai 106 calon pula akan bertanding merebut 25 jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi.

Perwakilan pada mesyuarat hari ini juga akan melakukan pengundian bagi memilih barisan kepimpinan peringkat bahagian.

Keputusan pemilihan jawatan tertinggi peringkat pusat dijangka diperoleh dan diumumkan pada sebelah malam oleh Ibu Pejabat Umno, manakala keputusan peringkat bahagian akan diumumkan Pengerusi Tetap bahagian.

Sebelum ini, beberapa keputusan peringkat bahagian membabitkan jawatan Ketua Bahagian telah diumumkan antaranya termasuk bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi yang menang tanpa bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Pekan.

Sabtu lepas, Umno juga telah mengadakan mesyuarat perwakilan dan pemilihan bagi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri. - BERNAMA

Umno , Presiden

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain