suria

Pelantikan Nor Shamsiah jadi gabenor BNM satu penghormatan

Nor Shamsiah.

KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Nor Shamsiah Yunus sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) adalah satu keputusan baik yang diambil kerajaan kerana ia mencerminkan penghormatan terhadap bank pusat itu sebagai sebuah institusi penting, kata Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Bekas gabenor BNM itu berkata, pelantikan Nor Shamsiah menerajui bank pusat itu adalah sejajar dengan jangkaan pasaran untuk melihat institusi tersebut terus bebas dalam menjalankan fungsi-fungsinya.  

Zeti

Mengenai desas desus bahawa pelantikan Nor Shamsiah adalah untuk memulihkan semula siasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di bawah bank pusat itu, Zeti menegaskan pelantikan tersebut mencerminkan keupayaan Nor Shamsiah dalam kestabilan kewangan yang juga diiktiraf di peringkat antarabangsa.  

"Datuk Shamsiah merupakan bekas Timbalan Gabenor semasa saya berkhidmat dengan BNM.  

“Beliau tahu semuanya tentang perbankan pusat dan beliau akan memulakan kerja dengan segera,” kata Zeti kepada pemberita selepas menghadiri taklimat Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang mana beliau merupakan salah seorang ahlinya, di Menara Ilham, di sini, Jumaat.  

Menurut laporan berita, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan semasa wawancara beliau bersama Bloomberg TV yang pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan  Agong.

Selepas memasuki pejabat baharunya, Nor Shamsiah akan mendepani pelbagai isu utama termasuk penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS, kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat dan hutang negara yang besar.  

Nor Shamsiah berkhidmat di bank pusat selama 50 tahun sebelum meninggalkan bank tersebut pada 15 Nov, 2016.  

Semasa menyandang jawatan sebagai Timbalan Gabenor, beliau bertanggungjawab menyelia perbankan, insurans, risikan kewangan dan penguatkuasaan.  

Selepas meninggalkkan BNM, Nor Shamsiah menyertai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada April tahun lepas di mana beliau berpangkalan di Washington DC. 

Di IMF beliau menyandang jawatan sebagai Penolong Pengarah Jabatan Monetari dan Pasaran Modal. - Bernama

Gabenor Bank Negara

Artikel Lain