suria

MAS tidak beri pengecualian bagasi kepada Najib

PETALING JAYA: Malaysia Airlines (MAS) menafikan dakwaan syarikat penerbangan itu memberi pengecualian caj bagasi kepada rombongan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Langkawi.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, MAS menjelaskan apabila penumpang mendaftar masuk secara berkumpulan, semua bagasi boleh disatukan dan ditanda di bawah satu nama.

Oleh itu, MAS menjelaskan keadaan tersebut mungkin "kelihatan sebagai bagasi berlebihan dalam sistem".

"Dalam kes yang tersebut, jumlah bagasi yang didaftar masuk oleh kumpulan penumpang terbabit masih dalam kadar yang dibenarkan.

"Malaysia Airlines sentiasa mematuhi dengan ketat dasar mengenai bagasi berlebihan dan boleh mengesahkan tiada pelepasan diberi," demikian menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, MAS juga berkata pihaknya sedang menyiasat sumber yang menyebabkan paparan skrin butiran penerbangan Najib tersebut menjadi tular.

Terdahulu, paparan skrin yang tersebar menunjukkan caj RM17,071.85 dikecualikan bawah nama Mohd Najib Abd Razak bagi penerbangan MH1450 pada 16 Jun lalu.

Selain Najib dan isterinya, ahli keluarganya yang bercuti di pulau peranginan itu termasuk anaknya Nooryana Najwa dan menantu Daniyar Kessikbayev.

Beliau dilaporkan bercuti di sebuah hotel di situ sehingga 20 Jun untuk berehat dan bermain golf walaupun timbul spekulasi mereka mahu meninggalkan negara.

Polis dan Jabatan Imigresen menafikan mereka mahu melarikan diri dari Malaysia.

Najib Tun Razak, MAS

Artikel Berikut

Artikel Lain