suria

Abu Kassim nafi dilantik KSN

Abu Kassim Mohamed.

KUALA LUMPUR: Ketua pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed menafikan khabar angin dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) menggantikan Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata, fokusnya kini lebih terarah membangunkan GIACC dan tidak berminat untuk menjawat jawatan lain.

"Saya sendiri memaklumkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa saya mahu fokus kepada usaha membangunkan GIACC yang amat diperlukan oleh negara dan tidak mahu sebarang jawatan lain termasuk Ketua Setiausaha Negara.

"Bagi saya kedudukan sebagai ketua Pengarah GIACC sangat penting dalam menjayakan agenda memerangi rasuah dan melahirkan persekitaran tadbir urus baik dan integriti," katanya kepada Sinar Harian.

Justeru, beliau mengharapkan sokongan dan kerjasama semua pihak termasuk organisasi media dalam menjayakan matlamat GIACC.

Buat masa ini, Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN); Institut Integriti Malaysia (IIM); Biro Pengaduan Awam (BPA) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berada di bawah GIACC.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Abu Kassim disebut akan dilantik sebagai KSN menggantikan Ali yang akan bersara pada penghujung Ogos depan. - Sinar Harian

Abu Kassim Mohamed, GIACC, KSN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain