suria

Mesyuarat MPT Bersatu bincang calon menteri?

Syed Saddiq antara yang disebut-sebut sebagai calon menteri Kabinet.

PETALING JAYA: Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada Isnin kemungkinan membincangkan mengenai senarai pencalonan parti bagi jawatan menteri Kabinet yang lain.

Difahamkan, antara yang disebut-sebut sebagai calon adalah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan Ahli Parlimen Alor Gajah, Mohd Redzuan Md Yusof.

Menurut sumber, jawatan timbalan menteri juga akan dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Sumber bagaimanapun tidak menyatakan apakah jawatan menteri yang disenaraikan untuk calon-calon.

"Bagaimanapun, ini semua tertakluk kepada rundingan dengan parti-parti lain dalam majlis presiden," kata sumber.

Mesyuarat itu dijangka dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Pengerusi PPBM, serta pemimpin-pemimpin lain seperti presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalan presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Syed Saddiq merupakan Ketua Pemuda PPBM, Dr Shahruddin adalah setiausaha agung parti manakala Mohd Redzuan merupakan salah seorang ahli Majlis Tertinggi parti.

PPBM, Syed Saddiq

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain