suria

Jamal diburu polis, 'hilang' ketika dalam tahanan

PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos dipercayai melarikan diri daripada tahanan polis.

Pemimpin politik kontroversi itu ditahan reman di wad premium Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri.

Pada sebelah pagi Jumaat, Jamal telah didakwa dengan tiga pertuduhan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenyah Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, ikat jamin telah ditetapkan RM3,000 untuk setiap pertuduhan.

"Bagaimanapun, sebelum proses ikat jamin selesai dia didapati hilang," kata Fadzil ketika dihubungi The Star.

Sumber berkata, kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam, Rahasbiah Abd Rahman pada pukul 5.30 petang, ketika beliau tiba untuk menjamin tertuduh.

Susulan itu polis telah melancarkan Ops Tutup bagi mengesan Jamal.

"Operasi sedang dijalankan untuk mencarinya," kata Fadzil.

Jamal,48, ditahan ketika menerima rawatan sakit belakang di hospital berkenaan.

Penahanan itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 34 Akta Senjata 1960 selepas terdapat laporan terhadapnya yang dikatakan sengaja mempamerkan senjata apinya.

Pada Jumaat, Jamal didakwa di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda RM400 jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Jamal diikat jamin RM3,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Jun depan sebagai sebutan kes di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Dalam kejadian 5 Oktober tahun lalu itu, Jamal dikatakan mengetuai bantahan penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ (BBF17) di hadapan pejabat pentadbiran kerajaan negeri Selangor.


Jamal, Ampang Puteri, Fadzil

Artikel Lain