suria

Raja Perlis murka tindakan Adun BN boikot majlis angkat sumpah MB

PETALING JAYA: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah menolak pentadbiran negeri itu menjadi boneka yang dikawal kuasa luar.

Baginda juga murka dengan tindakan sembilan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang memboikot majlis angkat sumpah Menteri Besar negeri berkenaan, Khamis.

Titah baginda, kelewatan melantik menteri besar juga selepas mengambil kira faktor yang mengganggu usaha berkenaan termasuk hal hubungan kekeluargaan.

"Lafaz ketika angkat sumpah jelas menyatakan tanggungjawab seorang menteri besar.

"Kalau adik jadi menteri besar, tentu akan beritahu abang sesuatu dan dalam hal ini terus terang saya tidak mahu campur tangan kuasa luar untuk kawal negeri ini.

"Sepatutnya Shahidan (Datuk Seri Shahidan Kassim) bertanding kerusi negeri (jika mahu jadi menteri besar) tetapi dia tidak bertanding di negeri," titah baginda seperti disiarkan Buletin TV3 sebentar tadi.

Titah baginda itu melibatkan Shahidan yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mahu adiknya, Datuk Ismail Kassim yang juga Adun Tambun Tulang dilantik sebagai menteri besar.

Sehubungan itu, Raja Perlis bertitah meminta rakyat negeri berkenaan menerima Adun Bintong, Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar.

Mengenai Adun yang gagal hadir, difahamkan jemputan telah disampaikan dua hari sebelum majlis itu berlangsung.

Bagaimanapun, semua terlibat dikatakan telah meninggalkan Perlis dan kini berada di ibu negara.

Pada Khamis pagi, Azlan telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis untuk penggal kedua di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau.

Negeri itu tidak mempunyai menteri besar selama dua minggu sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas BN Perlis mencadangkan kepada istana nama Ismail sebagai menteri besar baharu pada 12 Mei lalu.

BN menang 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU14, 9 Mei lalu.

Azlan berkelulusan Sarjana Ekonomi Antarabangsa dari Universiti Denver.

Beliau memulakan tugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan pernah menjadi Kaunselor Misi Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Amerika Syarikat (AS) pada 1999.

Pada 2011, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Biro Pengaduan Awan.

Azlan meninggalkan perkhidmatan awam pada 2013 dan kembali ke negeri kelahirannya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Azlan Man, Raja Perlis, BN

Artikel Lain