suria

Gobind mula tugas baharu

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo merakam masa kehadiran di pejabat baharunya tepat pukul 8.15 pagi Selasa.

Gobind tiba di kementerian pukul 8.10 pagi dengan berpakaian sut hitam dan bertali leher belang merah menaiki kenderaan rasmi dan disambut oleh Setiausaha Kementerian Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan wakil-wakil lain.

Gobind dibawa ke lobi kementerian sebelum dibawa ke pejabatnya di tingkat 37.

Beliau kemudian mengadakan taklimat dengan pegawai tertinggi dalam kementeriannya.

Pada Isnin, Bernama melaporkan bahawa Gobind, 45, akan menekankan kebebasan media adalah agenda utamanya, yang termasuk dalam manifesto Pakatan Harapan.

Namun katanya perkara itu perlu dibuat rujukan berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Kebebasan media adalah keutamaan saya. Media membuat  berita dan syarikat penerbitan terikat dengan undang-undang sedia ada jadi kami perlu melihat dari segi itu dan kami harus mencari kaedah yang kita boleh tingkatkan kebebasan akhbar di negara ini. Dan saya komited untuk melakukannya.

“Saya akan wujudkan satu kumpulan yang terdiri daripada pakar-pakar perundangan supaya mereka dapat lihat kepada impak undang-undang setakat ini, di mana ada kelemahan dan kami akan cuba perbaiki,” katanya.

Antara perkara lain yang akan dikaji semula termasuk beberapa undang-undang berkaitan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) yang berkaitan aduan dan siasatan terhadap beberapa kes yang dilaporkan.

Selain itu, anggota Parlimen Puchong itu berkata beliau turut akan memberi perhatian serius terhadap keseluruhan aspek laporan berita dan mencari jalan bagaimana sistem televisyen tempatan dapat bersaing dengan saluran media antarabangsa.

Katanya, media tempatan perlu mempelajari daripada media antarabangsa untuk lebih berpengetahuan dalam penyampaian berita.

Gobind yang juga Timbalan Pengerusi DAP memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Warwick Britain dan Jurusan Undang-Undang dari Lincoln's Inn.

Beliau diterima masuk ke Badan Peguam Malaysia pada 1996 dan meneruskan legasi ayahnya iaitu bekas pemimpin veteran DAP mendiang Karpal Singh.

Penglibatan Gobind dalam bidang politik bermula 10 tahun lalu sebagai anggota Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat sehingga kini dan pernah menyandang jawatan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa DAP Selangor sejak 2015 hingga tahun lepas.

Artikel Lain