suria

Pemuda PKR, Gerakan tidak setuju Tun M jadi menteri pendidikan

PETALING JAYA: Sebaik sahaja perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa beliau akan menyandang jawatan Menteri Pendidikan, seorang pemimpin pemuda PKR Pahang menyuarakan bahawa ia adalah bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).

Wong Chun Yuan menjelaskan bahawa manifesto PH 'Buku Harapan' secara jelas menyatakan bahawa 'perdana menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutamanya jawatan menteri kewangan'.

"Saya kecewa dengan pengumuman Dr Mahathir bahawa beliau akan memegang jawatan menteri pendidikan.

"Ia bukan sahaja bertentangan dengan agenda reformasi PH yang mengelak daripada pemusatan kuasa perdana menteri, tetapi ia berlawanan dengan manifesto pilihan raya PH," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Wong berkata, sebarang keputusan yang bertentangan dengan Buku Harapan akan menghampakan penyokong muda yang telah meletakkan harapan yang tinggi kepada Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh PH.

Sumber: Facebook.

"Saya menggesa Dr Mahathir untuk berpegang kepada manifesto PH dan menarik balik keputusannya untuk memegang jawatan menteri pendidikan," kata Chun Yuan.

Sentimen yang disuarakan oleh Chun Yuan itu turut mendapat sokongan pemimpin ketua pemuda Gerakan, Tan Keng Liang.

"Saya ingatkan ia adalah janji oleh PH bahawa perdana menteri tidak akan memegang jawatan di kementerian lain. Ia termasuklah kementerian pendidikan.

"Ini hanyalah peringatan yang mesra!," tulis Keng Liang melalui Facebook.

Terdahulu, Dr Mahathir memberitahu menerusi sidang media bahawa beliau akan bertanggungjawab ke atas Kementerian Pendidikan, sementara timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan memegang jawatan sebagai Menteri Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan.

Artikel Lain