suria

Aminuddin angkat sumpah jadi MB N. Sembilan

KUALA PILAH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Aminuddin Harun pada Sabtu mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang kelapan.

Aminuddin, 51 mengangkat sumpah jawatan di hadapan   Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti di sini.

Turut berangkat ke Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Putera Yang Empat iaitu Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Tunku Nadzaruddin Almarhum Tuanku Jaafar.

Hadir sama Undang Luak Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammed Abdullah bersama isteri, Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak dan Undang Luak Rembau Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman.

Lahir  pada 2 Jan 1967 di Kampung Pachitan, Port Dickson, Aminuddin dan isteri Wan Hasni Wan Yusof, 48  mempunyai lima anak iaitu tiga lelaki dan dua perempuan. 

Beliau menerima pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah, Port Dickson sebelum melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) dalam bidang perniagaan.

Aminuddin yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat selama tiga penggal sejak 2008 pernah bertugas sebagai pegawai penyiasat Badan Pencegah Rasuah dari 1991 hingga 1995.

Pada 1995, beliau menyertai syarikat Golden Hope Furniture Sdn Bhd sebagai ketua pengurusan pengeluaran  dan kemudian di MCIS Safety Glass (M) Sdn Bhd sebagai Eksekutif Senior dari 1996 sehingga 2008 sebagai ketua bahagian jualan, jawatankuasa pengurusan, panel siasatan dalaman dan auditor ISO/TS 16949:2002.

Sebelum menyertai PKR yang sebelum ini dikenali Keadilan pada 1999, Aminuddin  merupakan  anggota Umno dan pernah menjadi Setiausaha Umno Cawangan Kampung Pachitan (1995-1998) serta Setiausaha Pemuda Umno DUN Jimah (1997-1998).

Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR sejak 2014 itu turut aktif dalam badan bukan kerajaan antaranya Persatuan Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) dan  Angkatan Belia Islam Malaysia.

Dalam ucapannya pada istiadat itu, Aminuddin menjunjung kasih atas perkenan Tuanku Muhriz melantik beliau menerajui kerajaan negeri.  

“Sempena istiadat ini, patik mohon melafazkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Sesungguhnya jalinan keakraban dengan institusi raja yang telah diwarisi sejak turun- temurun di bumi beradat ini akan terus dipelihara dan diperkukuh demi kegemilangan negeri yang tercinta ini,” katanya.

Aminuddin juga berikrar  akan menyempurnakan tugas mentadbir negeri dengan baik dan penuh keikhlasan dan kejujuran.

“Patik juga akan berusaha memastikan pengurusan yang telus dan terbuka demi kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat di negeri ini. Sudah pasti sokongan menyeluruh daripada semua pihak diperlukan bagi mencapai cita-cita ini khususnya dengan sokongan daripada seluruh barisan kepimpinan dan anggota perkhidmatan awam di negeri ini,” katanya.

Selepas upacara mengangkat sumpah itu, Aminuddin dijadualkan akan menziarahi bapanya di Kampung Panchitan bagi memohon restu. - Bernama

Aminuddin Harun

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain