suria

Media sosial ‘meriah’, tapi penentu sebenar PRU14 adalah...

Gambar hiasan.

UNDI pengundi Melayu dan Bumiputera di kawasan luar bandar bakal menjadi penentu yang mencorakkan kerajaan seterusnya, kalau-kalau anda belum mendengar mengenai hal ini.

Di sebalik kebingitan penduduk bandar, tidak kiralah menerusi diskusi peribadi atau cemuhan kemarahan di media sosial, masyarakat luar bandar yang jauh lebih senyap adalah suara yang bakal menentukan keputusan.

Daripada 222 kerusi Parlimen, Semenanjung kini mempunyai 117 kerusi luar bandar Melayu susulan proses persempadanan semula - pertambahan berbanding 114 majoriti Melayu pada pilihan raya umum lalu. Sabah dan Sarawak masing-masing mempunyai 19 kerusi yang dikuasai pengundi Bumiputera.

Semua 117 kerusi itu termasuk 52 kawasan peneroka Felda yang dianggap sebagai nadi orang Melayu, dengan isu perkauman dan keagamaan menjadi perhatian utama.

Sebuah lagi kumpulan pemerhati pilihan raya, Tindak Malaysia, menganggarkan kerusi majoriti Melayu berjumlah 115 - meningkat satu berbanding 114 sebelum persempadanan semula.

Pembentukan kerajaan cuma memerlukan 112 kerusi bagi majoriti mudah. Sebelum Parlimen dibubarkan, Barisan Nasional (BN) mempunyai 130 kerusi.

Foto dari AFP.

Donald Trump (gambar) memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) menerusi sokongan padu kawasan luar bandar, bukannya New York, Los Angeles atau Washington DC. 

Malah, beliau kalah undi popular dengan margin lebih besar berbanding mana-mana presiden dalam sejarah AS, namun Trump menang menerusi sistem pengundian negara itu yang mana setiap negeri mengkhususkan beberapa undi kepada calon yang memenangi undi umum di negeri terbabit.

Parti Republikan Trump menang di negeri yang disifatkan sebagai swing states, iaitu undi belum mutlak dimiliki mana-mana pihak seperti Carolina Utara dan Ohio, dengan kebanyakan undi adalah di luar bandar. 

Malah, beliau memenangi 67 peratus daripada undi luar bandar penduduk Amerika.

Sistem pengundian di Malaysia lebih mudah iaitu berdasarkan format 'first past the post' atau majoriti mudah, mengikut sistem British. Sekali lagi, undi popular tidak diambil kira. 

Seperti di AS, pengundi luar bandar bakal menjadi penentu. Di Malaysia, bukan pengundi Cina antipembangunan di bandar yang memegang kata putusnya.

Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie bertemu pengundi Cina di Bagan Sungai Besar pada Jun 2016.

Laporan memetik firma analitik media sosial Politweet baru-baru ini menyatakan, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 2013 menyaksikan 30 kerusi majoriti Cina atau 13.5 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen.

"Pecahan etnik pengundi Cina di kawasan berkenaan merangkumi daripada 52.27 peratus (Beruas) kepada setinggi 90.94 peratus di Bandar Kuching.

"Kerusi ini merangkumi Pulau Pinang (tujuh), Perak (lima), Kuala Lumpur (lima), Selangor (satu), Melaka (satu), Johor (tiga), Sarawak (enam) dan Sabah (dua)," katanya. Daripada 30 kerusi majoriti Cina itu, DAP menang 29 manakala PKR memperoleh satu.

Bagaimanapun, Tindak Malaysia mendakwa bilangan kerusi majoriti Cina menurun kepada 24. Seperkara lagi yang nyata: bilangan pengundi Cina menurun dengan ketara walaupun tanpa persempadanan semula.

Menurut portal Malay Mail Online, walaupun pengundi Cina dipersalahkan berikutan kemerosotan undi BN, kelompok itu hanya membentuk kira-kira empat juta daripada keseluruhan 13.3 juta pengundi berdaftar.

Pengasas Politweet, Ahmed Kamal Nava, dilaporkan berkata, undi kaum Cina 'lama-kelamaan akan menjadi kurang relevan bagi BN dan pembangkang kerana kerusi majoriti Cina akan menjadi kawasan bercampur dan akhirnya berubah kepada majoriti Melayu.'

Gambar hiasan.

Laporan itu menyebut, perbandingan antara daftar pengundi PRU-13 dengan senarai suku pertama 2017 menunjukkan unjuran pengundi Cina merosot satu peratus di tujuh negeri dan di 79 daripada 165 kerusi di Semenanjung.

Berdasarkan aliran semasa, bilangan pengundi bukan Melayu dijangka terus menurun, malah ada yang meramalkan pecahan pengundi menjelang 2050 ialah 80 peratus Bumiputera dan hanya 15 peratus pengundi Cina serta kira-kira lima peratus kaum India.

Angka kelahiran hidup pada 2014 mencatat 75.5 peratus Bumiputera, diikuti 14 peratus Cina, India (4.5 peratus) dan lain-lain, enam peratus.

Mengikut perkiraan, kadar kelahiran kaum Cina iaitu 1.4 bayi bagi setiap keluarga pada 2015 berbanding 7.4 peratus pada 1957 bermakna kedudukan mereka di Malaysia akan berkurangan daripada 24.6 peratus pada 2010, 21.4 peratus pada 2015 kepada 18.4 peratus atau kurang pada 2040.

Menyedari majoriti undi Melayu bakal menjadi penentu, DAP menjalin kerjasama dengan PAS pada PRU-13 dengan harapan dapat menawan Putrajaya. 

DAP secara agresif mendesak pengundi Cina memilih PAS dan ramai yang berbuat demikian, namun pakatan itu tidak menjadi. 

PAS membayar harga mahal berikutan 'tidur sebantal' dengan musuh tradisi kerana pengundi Melayu di luar bandar tidak dapat menerima lambang roket yang menjadi simbol DAP.

Tinjauan rambang portal berita FMT ke atas kelompok pengundi asas PAS iaitu Melayu luar bandar mendapati, kebanyakan pengundi curiga terhadap kerjasama dengan DAP yang dilabel sebagai 'parti kafir'.

PAS kalah teruk pada PRU-13 apabila hanya mendapat 21 daripada 73 kerusi Parlimen yang ditandingi, selain kehilangan Kedah. Pada pilihan raya 2008, PAS menang 23 kerusi Parlimen.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, semestinya mendapat pengajaran bermakna akibat bermain api. Keretakan hubungan antara DAP dan PAS yang menyusul juga tidak banyak membantu.

Berganjak ke 2018. Sekali lagi, DAP menyedari UMNO tidak boleh dikalahkan tanpa bantuan undi Melayu, maka kerjasama baharu dibentuk dengan PKR, parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Amanah Negara (PAN).

Malah, DAP sedia mengetepikan simbol roket dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, mengakui orang Melayu amat berhati-hati dengan lambang berkenaan.

Ujian kini ialah melihat sama ada orang Melayu di luar bandar menerima Mahathir dan Lim Kit Siang sebagai teraju parti untuk memelihara kepentingan rakyat, dalam keadaan Kit Siang menjadi sasaran Dr Mahathir sepanjang kerjaya politik bekas Perdana Menteri itu sejak 30 tahun lalu.

Pengundi Melayu dan Bumiputera di kawasan luar bandar bakal menjadi penentu keputusan PRU-14.

Tiada tsunami

Jika tsunami Melayu tidak berlaku dan jika pengundi Cina sekali lagi meletakkan kepercayaan mereka terhadap parti pembangkang - aliran yang cenderung berlaku di kawasan bandar - maka ia akan menjadi pilihan raya ketiga berturut-turut menyaksikan kaum Cina memilih pasukan yang tewas.

Kesannya amat besar bagi masyarakat Cina, terutama jika wakil kaum itu dipandang remeh atau tidak wujud bagi hal membabitkan perundangan agama. Ia juga berkemungkinan bermaksud diketepikan daripada terbabit secara langsung dalam pembikinan dasar utama dan pembangunan.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan wujud desas-desus mengenai kerjasama tertentu antara UMNO dan PAS selepas pilihan raya akan datang.

Jika BN terus mendapat mandat seperti dijangka, DAP berkemungkinan menguasai bilangan kerusi di blok pembangkang memandangkan parti berasaskan Melayu lain belum terbukti keupayaannya kecuali PKR.

Dalam keadaan suhu politik semakin meninggi, tidak ramai warga kota mahu mendengar atau menerima bahawa ia sebenarnya adalah perhitungan di luar bandar selaku nadi orang Melayu. Hakikatnya, masa depan kita berada dalam tangan pengundi Melayu dan Bumiputera.

PRU14

Artikel Lain