suria

Orang Tengah Punca Harga Barang Naik, Bukan GST - Zahid

Ahmad Zahid Hamidi.

BAGAN  DATUK: Kenaikan harga barang bukan berpunca daripada  Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebaliknya berpunca daripada tindakan orang tengah atau ‘kartel' yang memanipulasi harga bagi memperoleh keuntungan berlebihan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang telah bersidang dan dipengerusinya sebanyak dua kali baru-baru ini mendapati tindakan golongan tersebut memanipulasi harga barang telah menyebabkan rakyat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Memang benar ada kenaikkan kos pengeluaran, kenaikan disebabkan pengimportan, kenaikkan disebabkan berlakunya pertukaran wang asing  kerana ketika itu wang kita agak rendah berbanding nilai mata wang AS, tetapi sekarang ini nilai mata wang kita telah meningkat. Tapi kenapa harga barangan tidak turun? 

“Ertinya kartel mainkan peranan (sebagai) orang tengah mengambil margin banyak. Saya tak mahu bermusuh dengan mereka tetapi saya mewakili rakyat minta kartel atau orang tengah jangan salahkan kerajaan dan jangan jadikan rakyat mangsa dan meracuni fikiran mereka untuk membenci kerajaan,” katanya.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan kedai serbaneka ProMart Bagan Datuk dan melancar program kos sara hidup di Hutan Melintang di sini, petang Isnin.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Sumber Manusia dan Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Hussin, Pengerusi Fama, Tan Sri Badruddin Amiruddin dan Pengerusi Eksekutif Prolink Retail Sdn Bhd, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, melalui majlis yang dipengerusi beliau itu juga mendapati golongan terbabit juga merupakan antara syarikat atau individu yang sebelum ini yang ‘lari' daripada  membayar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) Jelas beliau perkara tersebut harus dijelaskan kepada umum kerana kerajaan acap kali dilemparkan tohmahan sedangkan kerajaan telah melakukan yang terbaik bagi membela nasib rakyat.

“Mereka salahkan kerajaan dengan mendakwa GST penyebab utama kenaikan harga, sedangkan kartel inilah dulu yang merupakan syarikat atau individu yang lari daripada membayar cukai SST. Sebab itulah kerajaan ambil langkah kutip cukai jualan melalui GST.

“Oleh sebab itulah, mereka marah dengan GST jadi mereka buat tohmahan dan fitnah kepada kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan memperbanyakkan lagi kedai serbaneka ProMart bagi menggantikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Jelas beliau, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara telah dicadangkan untuk melantik syarikat-syarikat untuk mengendalikan lebih banyak outlet ProMart dan ini bukan lagi hanya dibawah satu syarikat seperti yang dilakukan dahulu.

“Kerajaan juga menampung kos pengangkutan yang merupakan faktor penyumbang kenaikan harga barangan,” katanya.

ProMart adalah salah satu anak syarikat dibawah pengurusan Prolink Marketing Sdn Bhd. Ia diwujudkan sebagai salah satu platform bagi melaksanakan satu tanggungjawab sosial (CSR) kepada pengguna dan pelanggan dengan menawarkan barangan keperluan asas harian dengan harga berpatutan.

Terdahulu, Suhaimi dalam ucapan berkata sebanyak 32 cawangan ProMart telah beroperasi sepenuhnya iaitu di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Johor.

“Sebanyak 81 cawangan lagi akan dibuka pada tahun ini. Cawangan Bagan Datuk merupakan cawangan Kedai Serbaneka ProMart yang ke-18,” katanya. - Bernama

GST

Artikel Lain