suria

Beli Banglo Bawah Harga Pasaran: Guan Eng - Li Koon Mengaku Tidak Bersalah

Lim Guan Eng ketika tiba di kompleks mahkamah, pagi Isnin. -fotoTHESTAR

GEORGE TOWN: Perbicaraan kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran di Mahkamah Tinggi bermula Isnin dengan pihak pendakwaan mengemukakan pertuduhan pindaan terhadap kedua-dua tertuduh.

Guan Eng dan Li Koon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail.

Bagi pertuduhan pindaan pertama Guan Eng didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isteri Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Guan Eng, 58, dituduh  melakukan kesalahan tersebut ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town di sini pada 18 Julai 2014.

Pertuduhan pindaan itu bagi menukar ayat sebagai penjawat awam dalam pertuduhan asal kepada seorang pegawai badan awam.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009  yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada ahli perniagaan Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah RM4.27 juta yang tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya (Guan Eng).

Guan Eng didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town di sini pada 21 Oktober 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan  pindaan kedua pula menukar tarikh kejadian dari 28 Julai 2015 kepada 21 Okt 2015.

Li Koon juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Guan Eng dalam mendapatkan banglo berkenaan pada harga bawah nilai sebenar.

Pindaan itu juga melibatkan tarikh daripada 28 Julai 2015 kepada 21 Oktober 2015.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di tempat dan pada tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 165, memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit  kesalahan.

Guan Eng dan Li Koon tiba di bilik bicara mahkamah pada 8.50 pagi.

Bilik bicara mahkamah dipenuhi dengan anggota keluarga tertuduh serta penyokongnya dan 20 media dibenarkan masuk bagi mengikuti prosiding kes itu.

Media dan orang awam mula berkumpul pada 7.30 pagi dan media dibenarkan masuk ke bilik bicara pada 8 pagi dan diperiksa dengan  alat pengesan logam.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud manakala Lim diwakili peguam antaranya Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh dan RSN Rayer manakala Datuk V. Sithambaram dan Hisyam Teh Poh Teik bertindak bagi pihak Li Koon.

Masri memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil sekurang-kurangnya tujuh saksi pendakwaan hari ini.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes Guan Eng dan Li Koon dibicarakan bersama.

Sementara itu, pada prosiding perbicaraan sebelah pagi tadi, tujuh saksi pendakwaan selesai memberi keterangan.

Perbicaraan akan  bersambung pada 2.30 petang ini dan pihak pendakwaan dijangka memanggil tiga lagi saksi pada prosiding sebelah petang.
-Bernama
Lim Guan Eng, banglo

Artikel Sebelum

Artikel Lain