suria

Adun Gunung Semanggol Makin Pulih

Mohd Zawawi Abu Hassan.

BAGAN SERAI: Kondisi kesihatan Adun Gunung Semanggol, Mohd Zawawi Abu Hassan kini beransur pulih dan bakal dibenarkan pulang ke rumah dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh tidak lama lagi.

Mohd Zawawi,41, yang mengalami pendarahan di kepala setelah tidak sedarkan diri sebaik terjatuh dalam bilik air di rumahnya di Kampung Tebuk Panchur, di sini sebulan lalu, kini menunjukkan tanda pemulihan positif meskipun masih tidak mampu untuk bercakap.

Timbalan Yang Dipertua (YDP) AS kawasan Bagan Serai, Husin Din berkata, berdasarkan laporan doktor bertugas, Mohd Zawawi kini dibenarkan pulang ke rumah.

“Bagaimanapun, pihak keluarga beliau masih menunggu pemberian katil khas sumbangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK) bagi memudahkan urusan menjaga beliau sebaik pulang ke rumah kelak.

“Keadaan kesihatannya semakin baik, namun dia masih berhadapan masalah ingatan dan belum mampu berinteraksi secara terus dengan orang ramai,” katanya kepada media pada majlis sambutan Hari Polis ke-211 Peringkat Daerah Kerian di pekarangan IPD Kerian, Ahad.

Husin berkata, kondisi kesihatan Mohd Zawawi turut mendapat perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berkenan bertanyakan keadaan beliau ketika ini.

Menurutnya, pihaknya berharap seluruh rakyat terutama penduduk Parlimen Bagan Serai dapat terus memberikan sokongan dan doa kepada Mohd Zawawi untuk segera pulih seperti sediakala.

Pada 13 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan Mohd Zawawi ditemui tidak sedarkan diri di rumahnya sebelum dihantar ke Hospital Taiping.

Difahamkan, Mohd Zawawi tidak sedarkan diri setelah terjatuh di dalam bilik air di kediamannya di Kampung Tebuk Panchur, di sini lebih kurang jam 10 pagi.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah darah tinggi yang dihidapi Mohd Zawawi. - Sinar Online

Mohd Zawawi Abu Hassan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain