suria

Penjawat Awam Tidak Terlibat PRU14 Bebas Bercuti - KP JPA

KUANTAN: Cuti penjawat awam yang tidak terlibat secara khusus dengan pilihan raya umum 14 (PRU14)  tidak dibekukan,  kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman.

Beliau berkata tiada sebab untuk menghalang kakitangan awam bercuti termasuk untuk ke luar negera disebabkan PRU14.

"Bagaimanapun sektor perkhidmatan awam yang terbabit secara langsung dengan PRU14 seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tertakluk kepada jabatan masing-masing untuk sebarang urusan permohonan cuti.

“Kami tak keluarkan arahan untuk beku cuti kepada kakitangan awam tapi kalau yang terbabit dengan pilihan raya umum (secara khusus) sudah tentu mereka terlibat dan sibuk.. .takkan mereka hendak cuti pula.

“Cuma untuk perkhidmatan lain mereka boleh bercuti seperti biasa tiada masalah dan segala urusan itu atas budi bicara ketua masing-masing," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jangkauan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Zon Timur 2018, di sini, Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Nor Inchun Mohamed Salleh, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu  Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Dalam perkembangan lain, Zainal Rahim berkata, seramai 800,000 pesara penjawat awam kini boleh dikesan dan dihubungi melalui aplikasi yang diwujudkan iaitu 1PesaraFindMe, baru-baru ini.

Katanya, aplikasi yang dibangunkan secara jaringan pangkalan dalam talian itu membolehkan pihaknya terus berhubung dengan pesara kerajaan terutama dalam mendapatkan maklum balas tentang kehidupan mereka selepas tamat perkhidmatan.

“Aplikasi ini juga boleh diakses menggunakan telefon pintar… setakat ini sebanyak 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pesara yang aktif memberi maklum balas melalui aplikasi tersebut” katanya.

Sebelum ini, inisiatif 1Pesara diperkenalkan pada 2014 yang merupakan program kolaborasi strategi empat agensi iaitu JPA, Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Manusia sebagai satu pengurusan pesara kerajaan dengan lebih sistematik.-- Bernama 

JPA, SPR, PRU

Artikel Sebelum

Artikel Lain