suria

Terowong P.Pinang: Seorang Lagi 'Datuk' Ditahan SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi ahli perniagaan bergelar 'Datuk' disyaki menerima rasuah RM3 juta, kononnya bagi mempengaruhi penutupan kes siasatan projek mega terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.

Suspek berumur 64 tahun itu dipercayai menerima wang berkenaan daripada sebuah syarikat selepas beliau dikatakan mampu ‘menyelesaikan' siasatan yang dijalankan SPRM.

Menurut sumber, suspek telah meminta RM4 juta sebagai habuan bagi menutup kes berkenaan yang sedang dalam siasatan SPRM.

"Bagaimanapun, jumlah berkenaan telah dikurangkan ke RM3 juta selepas hasil rundingan dan pihak syarikat yang yakin masalah itu mampu diselesaikan oleh suspek membuat pembayaran sebanyak RM3 juta sebagai habuan," kata sumber itu.

Sumber berkata, suspek ditahan di sekitar ibu negara pada 3.30 petang Jumaat dan merupakan individu kedua yang ditahan kerana dipercayai terlibat menerima wang bagi menutup kes siasatan projek mega terowong dasar laut itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

"Pasukan penyiasat SPRM masih dalam proses mengumpul bukti bagi membantu siasatan. Oleh itu, saya berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes ini dan memberikan masa kepada SPRM untuk menyiasat kes tersebut dengan terperinci," katanya.

Beliau berkata, ahli perniagaan itu  akan dibawa ke mahkamah di Putrajaya untuk permohonan reman esok bagi membantu siasatan kes itu.

Pada Selasa lepas, SPRM menahan seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' disyaki menerima rasuah RM19 juta bagi mempengaruhi penutupan siasatan kes projek berkenaan.

SPRM juga membekukan empat akaun bank syarikat milik Datuk Seri berkenaan yang bernilai RM3.6 juta dan menyita empat buah kenderaan mewah iaitu Toyota Vellfire, Mercedes Benz, Land Rover dan Hyundai Starex dianggarkan bernilai RM1.3 juta. - Bernama

Artikel Lain