suria

4 Individu, RM4 Juta - SPRM

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menyita wang tunai berjumlah RM4 juta daripada empat individu yang ditahan semalam berhubung kes rasuah membabitkan projek infrastruktur pengangkutan kereta api di negeri itu.

Pengarahnya Datuk Sazali Salbi berkata wang terbabit dirampas daripada peti simpanan milik individu berkenaan di beberapa buah bank.

Selain itu, SPRM juga mengambil tindakan kaveat ke atas beberapa hartanah yang disyaki dibeli menggunakan wang yang diperoleh daripada rasuah dan salah guna kuasa agar tidak dijual atau dipindah milik semasa siasatan dijalankan.

“Kita telah mengenal pasti enam atau tujuh rumah yang dibeli atas nama suspek dan anggota keluarga masing-masing di Sabah, Kuala Lumpur dan Johor dengan jumlah nilai RM2.7 juta,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat mengenai projek pembangunan di Sabah, di sini. Rabu.

Bagi tujuan itu, beliau berkata  SPRM membuka satu lagi kertas siasatan menurut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Empat individu  terbabit termasuk  seorang timbalan pengarah  sebuah jabatan kerajaan direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu  siasatan menurut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Dua lagi yang direman ialah penolong jurutera di jabatan kerajaan berkenaan manakala seorang lagi adalah  pengarah sebuah syarikat yang melaksanakan projek infrastruktur itu dan kesemua mereka berumur antara 37 dan 58 tahun.

Mengulas lanjut, Sazali berkata siasatan setakat ini mendapati antaranya suspek disyaki terlibat membuat tuntutan terhadap projek yang tidak wujud namun diisytiharkan sebagai projek pembaikan kecemasan.

“Selain empat individu yang ditahan itu, kita juga telah kenal pasti enam lagi saksi yang akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi keterangan.

“Siasatan masih di peringkat awal lagi  jadi, kami perlu sedikit masa untuk meneliti secara terperinci dokumen yang disita kerana kes ini berlaku antara 2012 dan 2017,” katanya.-- Bernama

SPRM, Sazali Salbi

Artikel Sebelum

BNM Tegur Pengguna Twitter

Artikel Berikut

Boy Iman Direman Lagi

Artikel Lain