suria

Geng Motosikal Cari Pondan, Serang Pengawal Keselamatan

Gambar hiasan.

SUNGAI PETANI: Dua pengawal keselamatan mengalami kecederaan setelah diserang  sekumpulan lelaki bermotosikal di hadapan sebuah perpustakaan di Jalan Kolam Air dekat sini awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Saifi Abdul Hamid berkata kejadian pada 5.45 pagi itu dipercayai berlaku sewaktu pengawal keselamatan berusia 39 tahun itu didatangi sekumpulan lelaki menaiki 20 motosikal selepas dia selesai meletakkan kon di hadapan pagar perpustakaan itu.

"Siasatan mendapati, seorang suspek bertanya kepada mangsa, "pondan takda ke?", dan selepas mangsa menjawab “tiada”, tiba-tiba seorang suspek yang lain, menendang mangsa di bahagian bahu kanan dan kemudian mereka beredar dari tempat kejadian.

"Selepas itu mangsa  menjerit memanggil rakan sekerjanya berusia 27 tahun, yang berada lebih kurang 10 meter dari situ, namun lima minit kemudian suspek datang kembali, mangsa bertanya apa kesalahannya bagaimanapun seorang suspek yang tidak berpuas hati turun dari motosikal lalu memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Saifi berkata seorang lagi suspek menuju ke pos pengawal dan mengambil parang panjang yang ada di situ lalu mengacukannya ke arah mangsa namun rakannya yang melihat kejadian itu bertindak menepis tangan suspek menyebabkan hulu parang  itu terkena siku kirinya.

Beliau berkata berikutan kejadian itu, mangsa pertama mengalami lebam pada kepala dan bahu kanan manakala rakan sekerjanya mengalami lebam pada siku kiri namun kedua-dua mangsa tidak dapat mengecam muka suspek kerana memakai topi keledar termasuk keadaan gelap.

"Siasatan juga mendapati hanya tiga hingga lima suspek sahaja yang bertindak memukul mangsa manakala yang lain hanya memerhati, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain