suria

Meriah 24 Pasangan Dirai

Adun Tiram, Datuk Maulizan Bujang (duduk lima, kanan) bergambar bersama pasangan pengantin yang menyertai Majlis Pernikahan Beramai-Ramai Pasir Gudang 2017 di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Ahad. Foto Bernama

JOHOR BAHRU: Kemeriahan Majlis Pernikahan Beramai-ramai  Pasir Gudang 2017 pada Ahad, menjadi kenangan terindah yang tidak dapat dilupakan bagi pasangan raja sehari, Mohamad Sarpan dan Nurul Farhanah Ibrahim, yang turut diraikan pada hari bersejarah itu.

Mohamad, 47, dan Nurul Farhanah, 29, dari Pasir Gudang, adalah antara 24 pasangan pengantin dari kawasan Parlimen Pasir Gudang dan Tebrau yang dirai pada majlis itu, anjuran Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Ketika ditemui pemberita, Mohamad berkata sebelum ini, beliau dan isteri merupakan jiran di Taman Cendana, Pasir Gudang dan diperkenalkan atas bantuan rakan dan keluarga.

"Hampir enam tahun kami berkenalan, akhirnya kami dapat membina keluarga bersama dan memandangkan kos untuk mengadakan majlis perkahwinan tinggi, jadi penganjuran majlis ini dapat membantu pasangan seperti kami untuk mendirikan rumah tangga," katanya.

Mohamad yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, manakala Nurul Farhanah bekerja kilang, mengatakan mereka hanya mengeluarkan kos RM1,000 bagi membeli set persalinan pernikahan dan upah solekan.

Turut diraikan, pasangan dari Taman Air Biru, Pasir Gudang, Mohammed Fikri Mohd Abdul Rahman Balin, 25, yang merupakan penyelia di sebuah stesen minyak, dan Nur Husnina Mohd Zuki, 25, jururawat di sebuah klinik swasta.

Mohammed Fikri berkata, beliau amat bersyukur dapat melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya setelah mereka berpisah selepas masing-masing meninggalkan alam persekolahan.

“Saya tidak sangka bertemu semula dengan isteri pada majlis perjumpaan sekolah kami. Saya bercadang berkahwin pada tahun depan namun masih tidak cukup wang, jadi  kami sangat bersyukur kerana akhirnya dapat berkahwin dalam majlis besar-besaran ini," katanya.

Terdahulu, majlis pernikahan kesemua 24 pasangan itu dijalankan pada pagi Ahad oleh enam jurunikah dari Pejabat Kadi Daerah Johor Bahru diketuai Kadi, Dzulkafli Mohamed, sebelum diikuti majlis persandingan pada tengah hari.

Hampir 20,000 orang terdiri daripada anggota keluarga dan rakan pasangan pengantin menghadiri majlis yang bermula 9 pagi hingga 5 petang itu.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, Datuk Maulizan Bujang berkata MPPG menerima hampir 50 permohonan, namun hanya 24 diluluskan untuk majlis berkenaan.

"MPPG memberi keutamaan kepada pasangan yang tinggal di kawasan Parlimen Pasir Gudang dan Tebrau. Kos mengadakan majlis ini juga semuanya ditanggung pihak penganjur dengan peruntukan setiap pasangan RM3,000.

"Syarat permohohan adalah bagi mereka  berpendapatan bawah RM3,000. Ia membantu pasangan untuk tidak mengeluarkan kos yang banyak kerana mereka hanya perlu membayar mas kahwin sahaja," katanya. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain