suria

Nak Tengok Salji? Jom Ke Sekolah

PETALING JAYA: Tidak dinafikan harapan untuk melihat anak murid mencatatkan kehadiran penuh di sekolah boleh membuatkan seorang guru 'putus akal' kerana ada kalanya ia bukan suatu yang mudah.

Namun, lain ceritanya bagi seorang guru di Tawau, Sabah apabila idea kreatifnya membuat silap mata mampu membuatkan murid di sekolahnya sentiasa ternanti-nanti waktu pembelajaran di sekolah.

Guru mata pelajaran muzik dan bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Perdana Tawau itu berkata, ia merupakan sebahagian taktik untuk menarik minat muridnya belajar lebih rajin dan hadir ke sekolah.

Abdullah Alif Dahlan, 30, yang juga berasal dari Tawau mencuri tumpuan netizen apabila video beliau menghasilkan salji daripada sebotol air mineral tular di media sosial.

Abdullah Alif merupakan seorang guru sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Perdana Tawau.

"Kita sedia maklum di Malaysia memang tidak ada salji, tapi saya lakukan silap mata tersebut di hadapan mereka supaya dapat merasa salji.

"Mudah-mudahan menjadi inspirasi buat mereka untuk belajar rajin-rajin sehingga melanjutkan pengajian ke luar negara," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Guru lelaki tersebut bagaimanapun enggan mendedahkan jenis 'serbuk ajaib' yang digunakan bagi aksi silap mata tersebut kerana ia merupakan sebahagian daripada teknik silap mata itu.

Abdullah Alif pernah disamakan dengan pelawak terkenal, Shahmira Muhamad atau Shuib Sepahtu.

Abdullah Alif yang sudah 11 tahun berkecimpung dalam dunia silap mata juga pernah memenangi anugerah Pertandingan Silap Mata Jalanan Wayne Houchin dan Lee Asher pada 2009 secara atas talian.

Malahan, beliau juga pernah mengenakan kostum adiwira seperti Spiderman bagi menarik perhatian murid baharu hadir ke sekolah.

Tambah beliau, taktik silap mata itu dianggap berjaya kerana ada antara muridnya sendiri yang mengingatkan jadual kelas kerana tidak sabar dengan helah baharu yang akan diperkenalkan kepada mereka.

"Bagi saya, itulah 'magic' apabila dapat tengok murid-murid teruja dan gembira.

"Mereka akan jadi yang pertama untuk menonton helah baharu sebelum saya membuat persembahan silap mata di tempat lain," katanya yang juga aktif mengajar silap mata di seluruh negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Suspek Pembunuhan Kejam Diburu

Artikel Lain