Potong Kain Kafan Sendiri - Semasa | mStar

Potong Kain Kafan Sendiri

JOHOR BAHRU: Pengalaman pertama kali memotong kain kafan turut menjadi yang terakhir buat seorang pelajar tingkatan tiga yang meninggal dunia dalam nahas jalan raya di Jalan Pantai menghala Pasir Gudang, di sini, awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi itu, mangsa, Mohamad Alif Aiman Azhar, 15, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya, Kamarul Fathullah Afiq Kamarul Hisham, 19, menghembus nafas terakhir pada jam 6 pagi di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Peristiwa menyayat hati itu turut melibatkan tiga lagi mangsa yang juga rakannya, Mohd Nur Hafizan Ahmad Raya, 17, yang mengalami kecederaan pada kaki manakala Adam Hashim, 28, dan Mohd Zulfitri Rahimin, 16, terselamat.

Menurut Mohamad Iqbal Rahman, 17, sahabatnya, Mohamad Alif Aiman merupakan seorang yang suka bergurau tapi takut melihat kain kafan.

“Bapa saya buat kursus pengurusan jenazah, sebab tu saya tahu arwah takut lihat kain kafan.

"Tapi saya hairan kerana baru-baru ini dia berubah sikap apabila sanggup teman saya pergi beli kain kafan malah dia juga berani untuk membantu saya memotong kain kafan tersebut.

“Saya tidak sangka perubahan sikap Aiman menjadi kenangan terakhir sebelum dia pergi buat selama-lamanya malah kain yang dipotong itulah yang digunakan untuk mengapankan jenazahnya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, HSI, di sini, Jumaat.

Menurut cerita salah seorang mangsa yang terselamat, Mohd Zulfitri, kemalangan berlaku apabila semua mereka yang menaiki tiga motosikal berhenti di tepi jalan untuk membaiki motosikal Honda Wave yang dinaikinya dan dibonceng Mohamad Alif Aiman yang mengalami kerosakan ekzos.

“Ketika saya membetulkan ekzos dalam lima minit, tiba-tiba datang sebuah teksi dengan laju dan melanggar kami.

“Saya hanya sempat menjerit supaya lari namun tak dapat berbuat apa-apa kerana teksi itu dipandu laju.

“Kami semua melambung kira-kira 10 meter sebelum saya lihat Kamarul Fathullah Afiq dan Mohamad Alif Aiman tidak bergerak selain kepala mereka berlumuran darah,” katanya dengan nada sebak.

Dalam pada itu, hasrat Kamarul Fathullah yang berniaga air jagung untuk menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihannya, Farzana Aflah Aliman, 19, tidak kesampaian apabila dia turut meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah pada badan.

Menurut Farzana, mereka akan melangsungkan perkahwinan pada 17 Disember ini dalam satu majlis perkahwinan secara beramai-ramai anjuran Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

“Semua persiapan sudah dibuat, tunggu untuk melangsungkan perkahwinan sahaja, namun tidak sangka dia pergi buat selama-lamanya, tinggalkan saya sendiri,” katanya.

Farzana menunjukkan gambar Allahyarham tunangnya Kamarul Fathullah yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSI.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, pemandu teksi berusia 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan terbabit selain ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis metafetamin.- Sinar Harian

Pasir Gudang , HSI

Artikel Sebelum

Mayat Remaja Terjun Sungai Golok Ditemui

Artikel Berikut

Cuai Punca Tanah Runtuh Di Tanjung Bungah

Artikel Lain