Untung Ke Nasi Lemak 80 Sen? - Semasa | mStar

Untung Ke Nasi Lemak 80 Sen?

Gerai bergerak Nasi Lemak Kampung dibuka di kawasan tempat letak kenderaan di Saujana Utama, Sungai Buloh.

PETALING JAYA: Menyedari persaingan dalam perniagaan yang semakin sengit, pasangan suami isteri ini mengumpul semangat dengan mempertaruhkan sarapan kegemaran ramai - nasi lemak pada harga serendah 80 sen sebungkus.

Beroperasi menggunakan gerai bergerak 'comel' berwarna hijau sesuai dengan penggunaan daun pisang untuk membungkus nasi lemak, kata pasangan ini, bukan keuntungan yang dikejar, namun kepuasan dalam menjalankan perniagaan dan kesempatan untuk beramal menjadi keutamaan.

Menurut peniaga Nasi Lemak Kampung yang beroperasi di Saujana Utama, Sungai Buloh, Nazri Abd Hamid, ketika memulakan perniagaan lima tahun lalu, dia dan isteri, Norzalina Azhar, menawarkan 70 sen sebungkus selama sebulan sebagai harga pengenalan.

Namun, selepas tempoh itu, usahawan berusia 44 tahun ini menjual menu kegemaran rakyat negara ini pada harga 80 sen dan sehingga kini ia semakin mendapat permintaan pelanggan.

"Ada yang tanya, untung ke saya jual harga murah? Bagi saya, kalau tidak balik modal, tak kan perniagaan ini mampu bertahan selama lima tahun.

"Ramai orang berniaga nasi lemak, jadi saya harus tampilkan kelainan dan tidak boleh berniaga untuk kaut keuntungan besar sahaja," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Selasa.

Nazri dan isteri menghasilkan kira-kira 1,000 bungkus nasi lemak sehari.

Pada harga serendah itu, nasi lemak kampung tersebut terdiri daripada nasi, sambal bilis dan telur rebus.

Sebelum ini, pasangan suami isteri tersebut menjalankan perniagaan berkenaan secara dalam talian.

Namun, mereka beralih kepada cara perniagaan biasa dengan membuka gerai di kawasan tempat letak kenderaan terbuka di kawasan perumahan yang didiami pasangan itu.

"Kami menghasilkan kira-kira 1,000 bungkus nasi lemak setiap hari dan biasanya pada pukul 11.30 dah habis dijual.

"Kalau dapat banyak (tempahan), tapi tak dapat hantar tepat pada masa, tak guna juga. Bagi saya, biar orang puas hati," ujarnya yang mula menjual hidangan sama pada waktu malam.

nasi lemak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Habis Hangus!

Artikel Berkaitan

“Bukan Nak Lawan...”