suria

“Resort Atau Rumah Orang Mati Kena Bunuh?”

PETALING JAYA: Percutian sebuah keluarga bertukar menjadi mimpi ngeri apabila banglo yang disewa di sebuah resort di Hulu Langat, Selangor tidak seindah seperti yang digambarkan.

“Kalau melihat gambar yang diberikan oleh ejen yang menguruskan tempahan memang cantik banglo tu. Tapi bila sampai depan banglo, aduhai dari luar dah nampak sedikit usang ya Tuhan. Rumah orang mati kena bunuh ke ni?,” luah seorang wanita di laman sosial pada Isnin dan posting itu kini menjadi tular.

Wanita itu mendakwa banglo yang disewa dengan kadar hampir RM400 pada Sabtu lalu bukan sekadar usang, tetapi keadaan di dalamnya dipenuhi habuk selain dinding dan siling diselaputi kulat dan kulapuk.

Keadaan siling yang diselaputi kulat dan kulapuk.

Selain keadaan perabot seperti sofa, katil dan tilam serta cadar yang tidak bersih, dia turut mendakwa tiada keperluan asas seperti cerek disediakan oleh pihak pengurusan.

"Plastik sampah pun tak disediakan, peti ais pun dah berkarat, nak guna pun takut. Sabun mandi dan tuala pun tak disediakan. Bayangkan dengan harga sebegitu, apapun tak ada! 

“Malam bila nak tidur kami cuba tutup pintu, tapi lepas tu masing-masing sesak nafas dan sakit dada sebab bau kulapuk dan udara yang dah tercemar,” katanya sambil menambah terdapat anjing liar di bawah rumah yang boleh membahayakan penghuni.

Menerusi beberapa keping gambar yang dikongsi, salah satu daripadanya adalah gambar papan tanda resort yang menunjukkan kawasan peranginan tersebut di bawah pengurusan Tourism Selangor Sdn Bhd.

ARTIKEL BERKAITAN: Banglo Usang: Tindakan Segera Diambil

Keadaan peti sejuk yang berkarat.

Pengadu yang hanya mahu dikenali sebagai Emma, 44, berkata, dia kecewa dengan pihak pengurusan yang mengambil sikap sambil lewa terhadap keadaan banglo di resort berkenaan.

Suri rumah itu memberitahu, dia telah menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwa dirinya wakil pihak pengurusan resort yang bersedia membayar ganti rugi selain meminta supaya dia menarik balik ‘posting’ tersebut di laman sosial.

“Saya bersuara bukan semata-mata untuk meminta ganti rugi tetapi keadaan banglo di resort ini tidak lagi sesuai dihuni manusia atas faktor kesihatan dan keselamatan.

“Sebagai pengguna, sudah tentu saya mempunyai hak kerana ia turut melibatkan pengunjung lain,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Antara keadaan menyedihkan di dalam banglo.

Mengenai kesanggupan mereka sekeluarga 14 orang termasuk empat kanak-kanak dan dua warga emas untuk bermalam di banglo usang itu, Emma menjelaskan bahawa mereka hanya menyedari keadaan yang berlaku pada lewat petang.

“Lepas ‘check in’ (daftar masuk), kami sekeluarga hanya letak beg dulu untuk melakukan senaman kesihatan dan rawatan rohani serta jasmani dekat banglo.

“Kami hanya periksa keadaan dalam banglo bila dah selesai aktiviti. Masa tu dah nak gelap, dengan kawasan jauh dari hotel-hotel lain dan kami yang ramai dan ada antara kami datang dari jauh, jadi tak semudah itu untuk cari tempat lain,” katanya yang menetap di Bukit Beruntung, Selangor.

Menurut Emma yang pertama kali ke resort itu, tujuan dia berkongsi pengalaman itu bukan berniat untuk menjatuhkan mana-mana pihak atau memalukan pihak pengurusan, tetapi tidak mahu kejadian berulang menimpa pengunjung lain.

Keadaan perabot yang sudah buruk.

Ditanya sama ada aduan bertulis dibuat kepada pihak pengurusan, katanya, ia belum dilakukan kerana masih lagi menunggu maklum balas daripada pihak yang menghubunginya sebelum ini.

“Bagaimanapun, saya berharap pihak pengurusan dapat bertindak segera dengan membuat kenyataan dan melakukan penambahbaikan di resort berkenaan.

“Saya juga berharap resort tersebut dapat ditutup buat sementara sehingga kerja-kerja penambahbaikan dilakukan kerana ketika ini ia tidak sesuai dihuni,” katanya yang akan membuat laporan kepada pihak berkuasa terutama Tourism Malaysia sekiranya tiada langkah proaktif dibuat.

Tourism Selangor

Artikel Sebelum

Joraimee Sah Terkorban

Artikel Lain