suria

Imigresen Tolak Kemasukan Penganjur, Peserta Pesta Gay

Mustafar Ali.

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa yang lain bagi mengesan dan memastikan individu-individu atau penganjur berkaitan pesta gay yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur pada 30 Sept ini, tidak menjejakkan kaki mereka ke negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, jika JIM mengesan individu-individu terbabit ini cuba memasuki negara, mereka akan diberikan Notis Penolakan Masuk (NIL) di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1559/63.

Katanya, pihaknya dengan tegas tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membawa gejala yang tidak sihat, tidak bermoral dan yang boleh mengancam ketenteraman awam, keselamatan serta kedaulatan negara ini.

"JIM dengan tegas akan menolak kemasukan individu atau penganjur yang cuba memasuki negara ini bagi menyertai pesta gay itu. Tindakan yang tegas itu diambil selaras dengan arahan daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Menurut Mustafar, seramai 46,551 individu telah ditolak kemasukan ke negara ini di atas pelbagai kesalahan imigresen dari 1 Januari sehingga 30 Jun ini.

Pada Khamis, Ahmad Zahid  yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu Kerajaan Malaysia tidak akan membenarkan sebarang acara atau parti gay yang dilaporkan dirancang untuk diadakan di Kuala Lumpur pada 30 September ini.

Beliau dilaporkan berkata walaupun sehingga ini penganjur acara itu belum membuat permohonan permit bagi membolehkan acara itu berlangsung, beliau telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tidak meluluskannya.

Laporan sebuah laman portal mengatakan satu acara gay akan diadakan di Kuala Lumpur pada 30 September ini, bagi mempromosikan acara perhimpunan gay tahunan terbesar di Asia iaitu “White Party Bangkok” di Thailand yang dijadualkan berlangsung pada 28 Disember depan. - Bernama

pesta gay

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain