suria

Pemandu GrabCar Didakwa Tiga Pertuduhan

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu perkhidmatan GrabCar didakwa di Mahkamah Majistret Ampang atas tiga pertuduhan mencabul, mencederakan dan mengugut penumpang wanita berusia 18 tahun, minggu lalu.

Tertuduh Muhamad Izuwan Kamaruddin,38, mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A.Raof.

Tertuduh  didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang merupakan pelajar kolej swasta dengan niat hendak mencabul kehormatannya mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau atau  dengan mana-mana dua seksaan itu jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Muhamad Izuwan dituduh mendatangkan kecederaan terhadap pelajar itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah ke atas mangsa dengan niat menyebabkan ketakutan  kepadanya mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di dalam kereta Perodua Myvi  pada 11.45 pagi di Hutan Simpan KOMPT.80, Hulu Langat, Ampang di sini pada 11 Sept  lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak menawarkan jaminan RM15,000  dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa.

Muhamad Izuwan yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan dia penanggung utama keluarga dan mempunyai seorang anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh dilarang menganggu mangsa  dan menetapkan 26 Oktober untuk sebutan semula kes.- Bernama

Pemandu Grabcar

Artikel Lain