Bendera Berterabur: Pegawai RTM Digantung Tugas - Semasa | mStar

Bendera Berterabur: Pegawai RTM Digantung Tugas

PETALING JAYA: Susulan insiden ‘bendera berterabur’ pada paparan pungutan pingat Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang disiarkan di saluran TV2 baru-baru ini, tindakan menggantung tugas dan amaran dikenakan terhadap pegawai terlibat.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abu Bakar Ab Rahim berkata, tindakan tatatertib tersebut adalah berdasarkan keputusan siasatan dalaman yang dibuat oleh jawatankuasa selepas berakhirnya temasya sukan dwi-tahunan itu.

“Seorang pegawai dari bahagian berita telah digantung tugas selama dua minggu. 

"Selain itu, terdapat beberapa pegawai telah diberi amaran berhubung insiden yang berlaku,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Abu Bakar bagaimanapun tidak mendedahkan identiti dan bila pegawai terbabit mula digantung tugas termasuk jumlah kakitangan lain yang diberi amaran.

Menurutnya, langkah persediaan akan dilakukan bagi mengelak insiden sama berulang pada Sukan Para Asean di Kuala Lumpur, yang diadakan bermula 17 hingga 23 September ini.

Beliau memberi jaminan kesilapan tidak akan berlaku sekiranya semua pihak di bahagian produksi mengikut prosedur operasi standard (SOP) semasa bersiaran langsung.

“Perkara ini kena ikut SOP, kalau ikut insyaAllah tak ada masalah. Apa-apa maklumat yang kita siarkan kena melalui saringan dahulu, tak boleh dibiarkan lepas begitu saja,” tambah Abu Bakar.

Artikel berkaitan: RTM Akui Kedudukan Bendera Berterabur, Akan Ambil Tindakan dan Bendera Berterabur: Tindakan Gantung Tugas Mungkin Diambil

Pada 24 Ogos lalu, bendera beberapa negara yang menyertai KL2017 bertukar antara satu sama lain dalam paparan pungutan pingat yang dimenangi atlet, semasa siaran langsung berita Tamil di saluran TV2 pada pukul 7.30 malam, sehingga ia tular di media sosial.

Lapan bendera daripada 11 negara yang bertukar itu membabitkan Vietnam, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, Myanmar, Kemboja dan Laos.

mStar Online melaporkan Abu Bakar mengakui kesilapan yang berlaku dan permohonan maaf telah dibuat pada segmen berita di saluran TV yang sama pada Jumaat, iaitu sehari selepas insiden berlaku.

Ia disusuli permohonan maaf menerusi siaran Berita Nasional di saluran TV1 pada tengah malam hari yang sama.

Menurut Abu Bakar, kesilapan tersebut berpunca pada peringkat produksi iaitu semasa memberikan maklumat terkini dengan keputusan pungutan pingat yang sentiasa berubah-ubah.

Sukan SEA , KL2017 , Abu Bakar Ab Rahim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tiga Penjual Telur Penyu Dihukum Penjara

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain