suria

Guan Eng Fitnah - SPRM

Lim Guan Eng.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa penahanan exco kerajaan negeri, Phee Boon Poh sebagai ‘haram’  menjurus kepada fitnah.

SPRM dalam satu kenyataan merujuk kepada laporan berita yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Jumaat.

“Selepas meneliti audio dan video pertemuan Guan Eng dengan pihak media pada 24 Ogos 2017 (Khamis) di Komtar, Pulau Pinang, SPRM mendapati Guan Eng dengan jelas telah menggunakan perkataan ‘penahanan haram oleh SPRM’ apabila menjawab soalan wartawan berhubung isu kilang haram di Sungai Lembu tersebut.

“SPRM memandang serius kenyataan itu dan beranggapan ia merupakan fitnah jahat yang bertujuan untuk memburuk-burukkan nama baik dan mencemarkan serta menjejaskan reputasi SPRM,” menurut kenyataan suruhanjaya itu pada Jumaat.

SPRM turut percaya bahawa Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang,  Datuk Abdul Wahab Mohamed tidak pernah menyatakan penahanan yang dibuat suruhanjaya itu sebagai ‘penahanan haram’.

Sehubungan itu, Guan Eng digesa memohon maaf secara terbuka tanpa syarat kepada SPRM dalam tempoh 48 jam atau tindakan undang-undang akan diambil.

SPRM turut menegaskan bahawa pihaknya telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 14 Ogos lalu berikutan keputusan membatalkan penahanan reman terhadap Phee Boon Poh.

“Memandangkan rayuan ini masih belum selesai dan dimuktamadkan sepenuhnya di mahkamah maka kenyataan mana-mana pihak berkaitan penahanan tersebut adalah subjudis dan boleh dianggap sebagai tindakan menghina mahkamah,” ujar SPRM.

Sebelum ini, Boon Poh ditahan SPRM pada 11 Ogos lalu ketika memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang berhubung operasi kilang haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam. 

Beliau kemudian ditahan reman selama lima hari bermula 12 Ogos bagi membantu siasatan kes berkenaan tetapi dibebaskan tiga hari kemudian selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan permohonan semakan semula untuk membatalkan perintah reman terhadapnya.


Lim Guan Eng, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain