suria

Pemerdagangan Orang: Malaysia Sasar Tahap Satu

PUTRAJAYA: Sebuah mahkamah khas untuk mengendalikan kes pemerdagangan manusia ditubuhkan sebagai sebahagian langkah untuk menjadikan Malaysia mencapai penilaian Tahap Satu berdasarkan Laporan Pemerdagangan Orang 2020 (TIP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) menjelang 2020.

Dalam wawancara khas bersama The Star, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu lagi langkah ke arah mencapai sasaran itu adalah mempunyai wakil dari Kementerian Pendidikan Tinggi dalam Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (Mapo).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut menggesa badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mengkritik usaha Malaysia untuk memerangi pemerdagangan manusia supaya bekerjasama dengan kerajaan.

"Saya harap komitmen serius kita dalam memerangi masalah ini akan menghasilkan keputusan yang baik," katanya.

Wawancara itu susulan laporan khas oleh pasukan R.AGE dari The Star pada 14 Ogos lalu mengenai rangkaian pemerdangan manusia antarabangsa yang menjadikan kolej swasta untuk memperdayakan golongan belia warga Bangladesh dengan janji-janji palsu mengenai peluang pekerjaan dan pengajian.

Pada 5 Ogos lalu, The Star turut menerbitkan laporan khas mengenai pengemis kanak-kanak warga asing yang menggunakan sindiket dikaitkan dengan ejen pemerdagangan manusia.

Mengenai langkah terkini untuk memerangi pemerdagangan manusia, Ahmad Zahid mengumumkan bahawa Jabatan Peguam Negara pada dasarnya telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah mahkamah khas bagi menangani kes pemerdagangan manusia.

Ahmad Zahid yang merupakan Menteri Dalam Negeri sejak 2013, mengetuai usaha penyelarasan kerajaan untuk memerangi pemerdagangan manusia.

Beliau berkata, sehingga 31 Julai tahun ini, sebanyak 277 kes yang dilaporkan oleh agensi penguatkuasaan melibatkan 173 kes eksploitasi seksual dan 104 kes buruh paksa.

"Setakat ini, 454 tangkapan telah dibuat," katanya.

Selain itu, sejak Januari lalu, 966 mangsa penyeludupan telah diselamatkan dan ditempatkan di rumah perlindungan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain